Tujuh tahun bercinta, Mustaqim masih belum sedia bergelar suami - Utusan Malaysia

Tujuh tahun bercinta, Mustaqim masih belum sedia bergelar suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dalam era ramai memilih berkahwin pada usia muda, pelakon, Mustaqim Bahadon mengakui masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga meskipun sudah tujuh tahun menjalin hubungan cinta bersama pilihan hati.

Mustaqim, 40, berkata, keputusannya itu bukan disebabkan enggan berumah tangga, sebaliknya lebih kepada usaha untuk mempersiapkan diri secara emosi dan kewangan sebelum memikul tanggungjawab sebagai seorang suami.

“Saya sudah tujuh tahun bercinta dengan teman wanita. Masih orang yang sama daripada dahulu sampai sekarang.

“Saya takut juga expired’tapi sebenarnya bila tengok sekeliling termasuk keluarga sendiri, ramai yang berkahwin tapi tak kekal. Ia buat saya jadi takut.

“Saya belum bersedia dari segi kewangan dan mental untuk jadi suami,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Munajjim: Sekutu Iblis, baru-baru ini.

Katanya, pengalaman menyaksikan keruntuhan rumah tangga dalam kalangan ahli keluarga dan rakan terdekat memberi kesan mendalam sehingga membuatkan dirinya lebih berhati-hati dalam membuat keputusan besar seperti berkahwin.

“Apabila bercerai, bukan sahaja pasangan yang terluka, malah hubungan kekeluargaan yang sebelum ini akrab pun jadi renggang. Itu yang saya cuba elak. Trauma itu masih ada,” ujarnya.

Tambah pelakon filem Munajjim: Sekutu Iblis itu, walaupun belum menetapkan tarikh untuk bernikah, dia bersyukur kerana kekasih hatinya yang juga seorang pramugari tetap setia menunggu dan memahami situasi dirinya.

“Saya pernah cakap pada dia, kalau nak cari orang lain pun silakan. Tapi dia tetap nak bersama saya. Saya pun pelik, mungkin dia suka orang Perlis agaknya,” katanya.

Mustaqim turut mendedahkan bahawa mereka sebenarnya pernah merancang untuk berkahwin ketika negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun perancangan itu tertangguh disebabkan kekangan yang tidak dapat dielakkan.

“PKP masa tu memang nampak macam waktu terbaik, tapi tak ada rezeki. Keluarga dia pun baik saja, tak pernah paksa. Tapi saya tetap berusaha, cuma belum sampai masa sesuai,” katanya.

Mengulas soal kewangan, Mustaqim menegaskan dia kini sedang berusaha menstabilkan kedudukan ekonomi peribadi bukan semata-mata untuk berkahwin, tetapi sebagai persediaan masa depan secara keseluruhan.

“Saya kumpul duit bukan untuk kahwin sahaja. Kalau tak jadi kahwin pun, sekurang-kurangnya kewangan saya dah stabil. Biar ada asas kukuh sebelum bina rumah tangga,” ujarnya.

Bagi Mustaqim, keutamaan buat masa ini adalah membina kestabilan diri terlebih dahulu, sekali gus mampu memberi jaminan terhadap masa depan rumah tangga yang ingin dibina.

“Saya bukan takut komitmen. Saya nak kahwin, tapi biarlah perkahwinan itu tahan lama. Saya tak nak kahwin hari ini, cerai minggu depan. Sebab itu saya ambil masa,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, Mustaqim kini tampil menerusi filem seram Munajjim: Sekutu Iblis arahan Faizul A. Rashid yang sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Filem tersebut turut dibintangi Farid Kamil, Che Puan Juliana Evans, Mustaqim Bahadon, Sherrie Merlis dan adik Daniel Aqil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN