Tony Eusoff 'derita' 90 minit tiap hari demi nampak jahat - Utusan Malaysia

Tony Eusoff ‘derita’ 90 minit tiap hari demi nampak jahat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Tony Eusoff, mengakui tidak mudah melalui proses solekan kesan khas selama 90 minit setiap hari di set penggambaran. 

Jelas Tony atau Anthony Joseph Hermas Rajiman, 48, komitmen itu dilakukan bagi merealisasikan penampilan karakter jahat lakonannya dalam siri Astro Originals terbaharu, Bad Cop sebagai Tony Redza.

“Setiap hari sebelum mula penggambaran, saya akan ambil masa satu jam setengah untuk ubah penampilan saya. Ia sangat mencabar.

“Tambahan pula penggambaran dilakukan tengah hari jadi cuaca memang panas. Kipas memang ada tapi udara masih panas. Jadi saya kena tahan.

“Benda yang ada di muka saya itu sangat tak selesa. Saya terpaksa bertahan sehingga habis penggambaran. Tapi kita buat sebab ‘we suffer for our art’ (kita menderita demi seni kita),” katanya ketika ditemui semasa sesi ramah mesra bersama media,baru-baru ini.

Menurut Tony, pengorbanan itu dirasakan berbaloi selepas melihat penampilannya sebagai antagonis yang begitu berbeza berbanding projek lakonannya sebelum ini.

“Saya pun dah bosan dengan rupa saya yang sama dalam drama-drama sebelum ini. Kali ini, saya suka sebab nampak lain  macam ‘wow, aku tak sangka mampu nampak sejahat ini’.

“Solekan ini membantu penonton untuk terus percaya bahawa watak ini samar-samar, mungkin tak baik sangat cuma pendendam. Cuma saya tidak boleh ceritakan terperinci solekan itu, kena tunggu,” kongsinya.

Bad Cop merupakan sebuah karya adaptasi daripada siri popular Jerman. Walaupun begitu, Tony mendedahkan dia sengaja mengelak daripada menonton siri asal agar tidak terpengaruh dengan pembawaan karakter pelakon lain.

“Proses saya, saya memang sengaja jauhkan diri daripada tengok versi original. Sebab saya takut akan terpengaruh. Nanti kita tak jujur dengan apa yang kita harus bawa.

“Saya nak bergantung sepenuhnya kepada interpretasi saya sendiri, dan sudah tentu, paksi utama lakonan terletak kepada pengarah, Jason Chong,” jelasnya.

Siri Bad Cop arahan Jason Chong ini turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Aiman Hakim Ridza, Wulan Guritno, Azri Sabri (Pak Aziz), dan ramai lagi.

Bad Cop dijangka menemui penonton pada Disember tahun ini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN