PASIR PUTEH: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyalurkan sumbangan RM5,000 kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Telaga Papan di sini, bagi penganjuran Kembara Merdeka 68 bermula 24 Ogos ini.
Pengerusi KRT kampung itu, Mohd. Zaki Md. Nor berkata, ia adalah kutipan dana pertama bagi membolehkan 10 ahli KRT bermotosikal mengagihkan Jalur Gemilang di seluruh pelosok negara.
Katanya, program tahunan itu melibatkan perjalanan sejauh 2,142 kilometer (km) merentasi Semenanjung dengan 18 hentian utama, sebelum kembali ke Kampung Telaga Papan untuk penamat program sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
“Kami memerlukan sebanyak RM11,000 bagi menampung keseluruhan kos termasuk pembelian Jalur Gemilang untuk diagihkan sepanjang kempen memeriahkan sambutan kemerdekaan negara.
“Kembara ini bukan sekadar perjalanan fizikal tetapi juga simbolik kepada kesatuan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kemerdekaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sumbangan disampaikan oleh Ketua Projek Utama Engagement TNB Wilayah Timur, Ir. Mohamad Mohyddin Mohamed Nor. – UTUSAN










