REMBAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan peningkatan kadar bantuan di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan diumumkan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, kadar baharu itu akan diselaraskan dengan pelaksanaan di Negeri Sembilan sebagai usaha memperkukuh kebajikan rakyat.
“Insya-Allah, saya umum dalam masa beberapa hari terdekat ini, kita akan naikkan lagi SARA. Kita akan gabungkan (samakan) dengan Negeri Sembilan,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi di Senawang, di sini hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi PH pada masa sama menyatakan harapan agar Datuk Seri Aminuddin Harun terus kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Beliau menegaskan pemimpin perlu menghentikan amalan rasuah dan salah guna kuasa serta menganggap harta kerajaan sebagai milik peribadi.
“Untuk bekerja, kita mesti hentikan amalan sakau. Hentikan anggapan bahawa harta negeri itu seperti harta peribadi. Hentikan amalan membawa harta dan duit ke luar negara.
“Kita mesti beri contoh yang baik kepada orang lain, menjadi pemimpin yang boleh berkhidmat dan menjaga rakyat. Kita perlu mencari dan mengangkat rakyat daripada kaum Cina, Melayu dan India untuk bersama-sama membina negara.
“Mari kita bekerja bersama-sama untuk selamatkan Malaysia. Ini negara yang hebat. Malaysia adalah negara yang hebat,” katanya.
Anwar sementara itu mendedahkan, wujud cubaan untuk menggugat kerajaan Negeri Sembilan lebih awal menerusi usaha menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Katanya, tindakan itu bukan berpunca daripada isu kelemahan pentadbiran, sebaliknya kerana pihak tertentu tidak berpuas hati calon pilihan mereka tidak dilantik sebagai Menteri Besar.
Beliau berkata, kestabilan politik penting bagi memastikan ekonomi terus berkembang kerana ketidaktentuan politik boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan akhirnya memberi kesan kepada rakyat.
“Saya sentiasa bersabar dan bersedia berbincang dengan baik. Kalau ada masalah pentadbiran atau kelemahan, kita boleh bincang dan cari jalan penyelesaian.
“Tetapi rupa-rupanya bukan itu isunya. Isunya adalah kerana calon mereka bukan Menteri Besar, itu adalah cubaan tebuk atap lebih awal,” katanya.-UTUSAN.










