Tiga lelaki dihukum gantung sampai mati, edar dadah lebih 1 tan

Tiga lelaki dihukum gantung sampai mati, edar dadah lebih 1 tan

MAHKAMAH Tinggi Johor Bahru menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap tiga lelaki yang mengedar dadah methamphetamine melebihi 1 tan, pada tahun 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga lelaki dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana mengedar dadah methamphetamine melebihi 1 tan pada tahun 2019.

Keputusan itu dibuat Hakim, Datuk Abu Bakar Katar selepas berpendapat pendakwaan telah membuktikan pertuduhan pindaan melampaui keraguan munasabah terhadap ketiga-tiga tertuduh iaitu Pang Ming Siong, 54; Cheng Foot Leong, 46, dan Tok Chun Whei, 41.

“Mahkamah ini berpendapat pendakwaan membuktikan melampaui keraguan yang munasabah, kesemua tertuduh secara niat bersama melakukan kesalahan sebagaimana dalam pertuduhan pindaan.

“Mahkamah ini memutuskan ketiga-tiga tertuduh bersalah dan disabitkan atas pertuduhan pindaan,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan itu, ketiga-ketiga tertuduh secara bersama telah mengedar dadah berbahaya jenis Methamphetamine berat bersih 1,483,962.98 gram.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 1162, Kolam Ikan JTM 68, Jalan Tanah Merah, Desa Cemerlang di Johor Bahru, pada pukul 7.30 pagi, 19 Mac 2019.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lydia Salleh manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Abd. Kadir dan Khairul Nadia Hasni. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN