KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aina Abdul, memilih untuk menyokong dan mengundi sahabatnya, Ernie Zakri selepas namanya tidak tersenarai dalam kategori Penyanyi Meletop dan Vokal Meletop di Anugerah Meletop Era 2025.
Aina, atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 32, berkata pemilihan senarai pencalonan bukanlah di bawah kuasanya namun tetap bersyukur kerana berjaya menembusi kategori Group/ Duo Meletop bersama Fabio Asher.
“Bagi saya itu di luar bidang kuasa dan kawalan saya, saya tidak mahu menyalahkan sesiapa. Tahun ini mungkin tiada rezeki saya, tak mengapa sebab sebelum ini anugerah itu pernah memberikan penghargaan pada saya.
“Mungkin tahun ini bukan rezeki saya dan peminat saya. InsyaAllah. Tapi saya masih tersangkut di satu kategori jadi peminat jangan kecewa dan bersedih. Boleh undi untuk kategori itu. Kita fokus pada kategori yang saya ada.
“Disebabkan kali ini saya tidak tercalon untuk Penyanyi Meletop dan Vokal Meletop, saya akan undi Ernie Zakri,” katanya.
Aina ditemui semasa sidang media Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025), baru-baru ini.
Dalam pada itu, penyanyi Sumpah itu juga enggan memanjangkan perkara ini serta tidak akan meminta penjelasan daripada penganjur walaupun dicadangkan beberapa pihak.
“Mereka juga ada hak mahu calonkan sesiapa yang mereka inginkan. Kita sokong penyanyi yang tercalon. Tak mengapa, ini bukan penghujung dunia.
“Dalam karier mana-mana penyanyi pun, takkan ada semua orang sukakan kita, dan takkan ada semua membenci kita.
“Allah itu adil, jadi bagi saya, yang tak suka saya dan mendoakan kesedihan saya, saya mendoakan yang baik-baik saja untuk mereka,” katanya.
Selain tercalon untuk kategori Group/ Duo Meletop, Aina turut lolos dalam kategori Selebriti Ikon Terhangat Dikuasai Oleh Samsung Galaxy dan Selebriti Muzik Paling Onz & Terhangat. -UTUSAN