KUALA LUMPUR: Kegembiraan pelakon, Sophia Albarakbah, meraih kategori Selebriti Feminin Terhangat, Anugerah Melodi Terhangat 2025 hanya bertahan selama beberapa jam sebelum menjadi mangsa kecaman di media sosial.
Menurut peguam mewakili Sophia iaitu Aizat Aizam, selepas kejadian itu, anak guamnya terpaksa menjadi mangsa tuduhan liar serta fitnah terbuka kononnya pelakon itu berdrama untuk meraih publisiti.
“Malam itu sepatutnya menjadi malam kemenangan beliau yang patut dinikmati. Memang beliau bersyukur atas kemenangan, berterima kasih kepada semua yang telah mengundi sampai beliau menang.
“Tetapi beliau tak sangka bahawa dia tidak dapat meraikan kegembiraan itu tidak sampai 24 jam pun.
“Sebenarnya daripada beliau dinobatkan sebagai pemenang sampailah beliau pulang ke rumah, perasaan gembira tu masih ada. Tapi kemudian hilang selepas menerima komen di Instagram dan melihat hantaran yang dimuat baik portal dan warga maya,” katanya.
Aizat ditemui Utusan Malaysia di Balai Polis Travers, Bukit Persekutuan pada Jumaat
Jelas Aizat, satu laporan polis dibuat memandangkan Sophia bukan sahaja menerima komen berunsur lucah, malah bertindak untuk melindungi dirinya.
“Komen-komen lucah serta menjijikkan yang diterima Sophia bukan sahaja telah merendahkan martabat beliau sebagai seorang wanita, tetapi juga telah menormalisasi budaya gangguan seksual dalam talian.
“Kita juga bimbang apabila ugutan-ugutan ini juga telah menimbulkan isu keselamatan memandangkan ada pihak yang menyentuh tentang ilmu-ilmu yang tak sepatutnya seperti santau,” katanya.
Sementara itu, menurut Aizar, pihaknya sedang meneliti untuk mengambil tindakan sivil terhadap pihak yang masih meneruskan penghinaan kepada pelakon From Saga With Love itu.
“Kami dalam proses untuk meneliti tindakan guaman yang boleh diambil secara sivil terhadap mana-mana lagi pihak yang masih lagi meneruskan perbuatan yang tidak berpatutan terhadap saudari Sophia.
“Bagi pihak kami, kami bercakap hari ini bukan soal hiburan, bukannya tentang nak meraih publisiti. Tetapi soal untuk mempertahankan maruah seorang wanita,” katanya.
Terdahulu, nama Sophia kembali menjadi panas selepas pelakon, Bella Astillah, menyampaikan trofi kemenangan kategori Selebriti Feminin Terhangat buatnya semasa Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 yang berlangsung pada Ahad. –UTUSAN










