PETALING JAYA: Mana-mana pihak tidak perlu mencuba ‘menangguk di air keruh’ dalam isu bendera Jalur Gemilang dipasang secara tidak betul.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, mana-mana penyalahgunaan dan kesilapan berhubung dengan bendera dan lambang negara seperti Jalur Gemilang dan Jata Negara adalah tertakluk kepada Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.
Jelasnya, dalam menangani apa-apa insiden kesilapan berkenaan bendera, pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang adalah pihak polis dan mereka perlu diberi ruang untuk bertindak secara adil dan saksama.
“Jadi, tidak perlulah mana-mana pihak cuba ‘menangguk di air keruh’ apatah lagi mengugut untuk membuat protes di depan premis perniagaan yang terbabit atau ‘mengajar’ orang untuk mengibar bendera.
“Tindakan seperti itu adalah satu cara membuli yang sudah tentu ditolak sama sekali oleh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Seremban tersebut dalam pada itu meminta semua pihak menguatkan perpaduan bersempena Hari Kebangsaan yang akan datang.
“Marilah sama-sama menguatkan perpaduan sesama kita, menghormati kepelbagaian antara satu sama lain dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyumbang ke arah pembangunan dan kemajuan Malaysia yang kita cintai bersama,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh berkata, beliau akan ke Pulau Pinang ekoran insiden memasang bendera terbalik oleh pemilik sebuah kedai perkakasan di sana.
Menurut Dr.Akmal, tujuannya adalah bagi mengajar pemilik kedai berkenaan memasang bendera dengan cara yang betul. – UTUSAN











