PORT DICKSON: Polis telah menghantar kertas siasatan berhubung insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di sini kepada Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) Negeri Sembilan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superitenden Mohd. Ruslan Mat Kib berkata, pihaknya menunggu arahan daripada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
“Hari ni kertas siasatan telah pun dibawa oleh pegawai penyiasat kes bersama Timbalan Pendakwa Raya Port Dickson ke pejabat PPN Seremban.
“Sepanjang proses siasatan seramai empat orang termasuk individu yang memasang bendera dan guru telah dipanggil bagi memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, lelaki yang memasang bendera tersebut dipercayai seorang lembam pembelajaran.
Jelas Mohd. Roslan, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Penggunaan Tidak Wajar) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sebelum ini media melaporkan, sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di sini memohon maaf secara susulan insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di premis sekolah berkenaan pada Jumaat.
Dalam kenyataan bersama Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pentadbiran sekolah meluahkan kekesalan terhadap insiden itu yang disifatkan sebagai kecuaian tidak disengajakan. – UTUSAN










