PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pelantikan Datuk M. Kumar sebagai pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan ia tidak seharusnya dipertikai atas alasan bahawa beliau seorang bukan Melayu.
Perdana Menteri berkata, isu kaum tidak sepatutnya menjadi penghalang dalam memilih individu yang berkelayakan untuk menerajui jabatan penting dalam kerajaan.
“Beberapa Ahli Parlimen pembangkang pernah bangkitkan bagaimana satu agensi ataupun badan penguatkuasaan, Polis Diraja Malaysia Bahagian Jenayah itu 90 peratus Melayu.
“Ketuanya Datuk M. Kumar, India. Bagi saya, itu bukan masalah. Siapa yang rasa ada peranan, mampu, kendali dengan baik, dia tonjolkan.
“Ketua Polis Negara masih Melayu. Timbalannya masih Melayu. Pengarah-pengarah lain Melayu. Bagi saya, bukan jadi masalah,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri di sini hari ini.
Anwar menegaskan, kuasa Melayu tidak akan segera terhakis dengan menyatakan semua kuasa diserahkan kepada kaum lain,
“Ini dialog yang akan berterusan dalam negara pelbagai kaum dan pelbagai agama.
“Tetapi, saya mohon pengertian. Terutama saudara-saudara tahu bahawa kalau nak selamatkan negara ini, kita kena jamin tentunya keadilan bagi majoriti, keadilan bagi minority,” katanya.
Pada 12 Ogos lalu, Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard memuat naik hantaran ‘ucapan tahniah tertunda’ kepada Kumar atas pelantikannya, sambil berkata ini menunjukkan bahawa Malaysia sudah mula menerima konsep “Malaysian Malaysia”.
Beliau turut merujuk kenaikan pangkat Datuk Johnny Lim sebagai Leftenan Jeneral dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kumar secara rasmi mengambil alih jawatan sebagai pengarah JSJ Bukit Aman pada 8 Ogos lalu, menggantikan Shuhaily Zain yang dipindahkan untuk mengetuai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia. – UTUSAN