MUKADIMAH
APABILA timbul sesuatu isu khususnya yang melibatkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kebiasaannya hanya Pas atau Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) sahaja yang tampil membuat kenyataan.
Jarang sekali ada kenyataan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), walaupun umum mengetahui bahawa parti itu menang di empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 11 kerusi pembangkang.
Wartawan Utusan Malaysia, Iswan Shafiq Isa baru-baru ini bertemu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya yang juga Ketua Armada Bersatu Pulau Pinang, Izhar Shah Arif Shah untuk merungkai persoalan itu.
UTUSAN: Benarkah Bersatu Pulau Pinang kurang menonjol?
Izhar Shah: Saya akui Bersatu Pulau Pinang memang kadang-kadang dilihat kurang aktif. Tapi, kami baru tujuh atau lapan tahun ditubuhkan. Masih awal. Sepanjang tempoh itu, kami juga tidak ada nama-nama besar seperti Bersatu di negeri lain. (Nama) yang paling besar sebelum ini pun (Datuk) Marzuki Yahya. Itu pun sudah keluar (menyertai Parti Pejuang Tanah Air). Jadi, kebanyakan nama-nama yang mengetuai Bersatu di setiap bahagian ketika ini adalah nama-nama yang belum dikenali oleh rakyat.
Peranan yang dimainkan oleh Bersatu Pulau Pinang ketika ini?
Di Pulau Pinang, Bersatu adalah penghubung atau bridge antara Pas dan Gerakan. Dua naratif berbeza yang kadang-kadang bercanggah. Begitu juga peranan yang dimainkan oleh Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu sebagai penghubung. Kita sentiasa ada di tengah-tengah dan menghubungkan pelbagai ideologi.
Hubungan antara Armada dengan rakan sayap yang lain bagaimana?
Hubungan kami dengan sayap-sayap lain khususnya dalam PN ini baik. Dengan Pemuda Pas sangat erat manakala dengan Pemuda Gerakan pula cukup akrab. Biasalah, kadang-kadang ada sedikit fraction (perpecahan) antara Pas dan Gerakan ini. Maka, sebab itulah kami perlu menjadi penghubung. Kalau boleh, kami nak adakan hubungan baik dengan semua sayap dalam PN termasuk MIPP (Parti Rakyat India Malaysia). Tapi, MIPP belum wujud lagi di Pulau Pinang.
Daripada segi keahlian pula ada pertambahan?
Jika tak silap saya, ahli kita kini semakin ramai. Di Permatang Pauh sahaja kita sudah ada lebih 1,000 ahli. Begitu juga di Tasek Gelugor. Saya pun sudah masuk tahun yang ketiga (sebagai Ketua Armada Bersatu Pulau Pinang). Ada satu tahun lagi. Jadi, kita usahakanlah.
Persiapan PN di Pulau Pinang dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)?
Saya memberi tumpuan di empat bahagian iaitu Kepala Batas, Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Balik Pulau. Empat Parlimen ini PN memang bertanding dan telah menang tiga daripadanya. Satu lagi yang hampir menang ialah di Balik Pulau. – UTUSAN










