JIKA seorang lelaki bercinta dengan gadis enam tahun lebih muda, perkara itu biasa sahaja. Tapi jika situasi ini diterbalikkan, entah kenapa ia dianggap pelik, jelik atau seperti ada yang tidak kena.
Stigma ini secara tidak sedar sudah melekat dalam fikiran masyarakat bahawa lelaki bujang muda sepatutnya tidak boleh terpikat dengan wanita lebih berusia daripada mereka. Lebih-lebih lagi kepada seorang janda.
Perkara mengenai cinta berbeza usia itu cuba dibincangkan dalam drama terbaharu Viu, Seadanya Kita yang dibintangi pelakon utama Emma Maembong dan Mierul Aiman. Namun, ketika teaser drama itu baru sahaja dimuat naik, tanpa usul periksa, sudah ada komen menghina gandingan dua pelakon itu yang katanya tidak sesuai. Perkara itu secara tidak langsung mengesahkan lagi tanggapan buruk mengenai cinta beza usia ini.
“Saya pun tidak pasti apa maksud mereka tidak sepadan. Tapi ramai yang komen kata gandingan kami tidak sesuai. Cuma bila mereka selidik cerita ini tentang apa, barulah mereka faham.
“Tapi kita lihat, bila teaser keluar memang orang susah nak terima secara tidak langsung mencerminkan keadaan hari ini juga.
“Ini perkara yang memang terjadi dalam masyarakat cuma mereka tidak mahu cakap tentang perbezaan usia kerana mereka takut, tak kiralah selebriti atau orang biasa. Macam teaser itu, terus orang hakimi dan persoalkan mengapa Emma digandingkan dengan Mierul. Permulaan dulu teruk saya kena hentam. Mereka suruh cari heroin lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Emma atau Fatimah Rohani Ismail, 33, yang juga merupakan seorang ibu tunggal, menerusi drama ini dia cuba memberi harapan kepada wanita di luar sana bahawa cinta sejati yang datang tidak perlu diukur dengan umur sebaliknya ketulusan untuk menjaga sepenuh hati.
“Sepanjang 14 tahun jadi pelakon inilah kali pertama saya dapat tawaran berlakon cerita perbezaan umur. Produksi sengaja pilih saya sebagai heroin untuk nampak perbezaan, itulah motif utama. Saya fikir, cerita ini mengetengahkan perkara yang baru.
“Saya juga mulai sedar selepas terlibat dalam projek ini apa yang penting ialah perjalanan, perjuangan dan cara dia mempertahankan segalanya.
“Selama bercakap tentang jodoh orang akan bincang segi rupa, harta, umur, status sebab risau apa orang luar akan cakap tentang perhubungan kita.
“Tapi sesiapa sahaja boleh jadi gembira walau beza usia. Macam mana perhubungan walau sebaya pun tidak bertahan jika pemikiran berbeza. Usia bukan masalah, tetapi akhirnya dengan siapa kita berjodoh,” tambahnya.
Bukan itu sahaja, Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular ke-31 itu juga merasakan sudah masanya naskhah kita lebih kritis jika mahu bercakap tentang cinta dan tidak hanya terperangkap dalam karakter perempuan bergaduh dengan ibu mentua semata-mata.
“Cerita ini bukanlah kisah klise tentang orang berebut harta atau menangis kena buli dan pukul dengan mak mentua. Sudah masa kita membawa realiti sebenar dan fakta yang saya mahu kongsikan tapi takut akan memberi spoiler.
“Bukan itu sahaja, saya bersyukur kerana digandingkan dengan pelakon hebat seperti Mierul Aiman. Ini kali pertama kami bekerjasama, selalu ini saya lihat dia terlibat cerita aksi. Tak sangka untuk naskhah emosi, dia pelakon hebat. Sekejap sahaja dia boleh mengalir air mata.
“Sebagai pelakon, ada kepuasan berbeza apabila dapat naskhah yang bagus digandingkan pula dengan pelakon yang hebat,” tambahnya.
Seadanya Kita merupakan drama romantik 15 episod mengisahkan seorang wanita bernama Alani yang dicurangi suaminya.
Dia kemudian menjadi ibu tunggal dan membesarkan anak sendiri. Tidak lama selepas itu, dia jatuh cinta dengan seorang artis lelaki, Kerol yang jauh lebih muda daripada.
Turut sama menjayakan drama yang ditayangkan di Viu itu ialah Emma Maembong, Mierul Aiman, Ara Johari dan Nelissa Nizam.