TEGAK 2025 cipta gelombang budaya baharu di Kuala Terengganu

TEGAK 2025 cipta gelombang budaya baharu di Kuala Terengganu

RAZALI Idris menembung emping sebagai simbolik perasmian TEGAK di Pulau Warisan, Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Temasya Tranung Kite 2025 (TEGAK) yang berlangsung di Pulau Warisan selama tiga hari bermula Jumaat lalu mencipta fenomena baharu dalam landskap seni, warisan dan budaya Terengganu.

Acara anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu serta Majlis Kebudayaan Daerah Hulu Terengganu itu menjadi platform menggabungkan elemen tradisi, inovasi dan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat.

Bertemakan ‘Emping Warisan, Silat Perjuangan’, TEGAK 2025 menampilkan simbol emping sebagai kekuatan rakyat dan silat sebagai lambang perjuangan bangsa.

Selain persembahan seni, penganjuran kali ini turut memeriahkan Kuala Terengganu dengan Pertandingan Perahu Panjang dan Bot Berhias yang sebelum ini diadakan di Kuala Berang.

Lebih menarik, edisi kali ini memperkenalkan beberapa acara baharu seperti Pertandingan Gasing Leper Terengganu, e-sukan dan pertunjukan wau Bercahaya yang menggabungkan warisan tradisional dengan sentuhan kontemporari.

Menurut JKKN Terengganu, temasya bukan sekadar hiburan, sebaliknya menjadi ruang interaksi budaya antara generasi lama dan baharu, komuniti desa dan bandar serta memupuk kesedaran memelihara warisan negeri.

“TEGAK 2025 diharap menjadi pemangkin semangat untuk terus memelihara budaya, menyatukan komuniti dan memperkukuh jati diri Malaysia berteraskan warisan Terengganu,” katanya dalam kenyataan.

Penganjuran kali kedua selepas Program Merakyatkan Seni (PMS) Temasya Pantai Timur 2009 berjaya menarik 3,250 peserta kategori darat dan air.

Ia turut disertai 30 reruai jabatan, agensi kerajaan, swasta, badan korporat, persatuan, penggiat seni, universiti serta 60 gerai makanan rakyat Terengganu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui Facebook JKKN di pautan www.facebook.com/mysenibudaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN