GERIK: Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Perodua Aruz di Kilometer 29, Jalan Gerik-Kupang di sini semalam, membawa kepada penemuan potongan kabel dipercayai hasil curi.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pemeriksaan pada kenderaan berkenaan juga menemui beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memotong kabel.
“Maklumat kemalangan itu diterima pada pukul 8.28 pagi. Berdasarkan siasatan, kenderaan itu terbabas sendiri lalu melanggar tembok jalan sebelum terbalik.
“Tiada pemandu atau penumpang di dalam kenderaan. Pemeriksaan menyeluruh pada SUV itu menjumpai beberapa kabel yang telah dipotong dan peralatan untuk mencuri kabel,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, usaha sedang dijalankan bagi mengesan pemandu dan pemilik kenderaan berkenaan bagi membantu siasatan.
Katanya, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan juga diminta tampil bagi membantu pihak polis mengesan suspek.
“Pihak klinik juga diminta menyalurkan maklumat sekiranya terdapat individu yang mencurigakan hadir ke fasiliti kesihatan untuk mendapatkan rawatan. Difahamkan, suspek cedera dalam kemalangan itu,” katanya. – UTUSAN










