Suspek ditahan, Akmal tunda ‘kelas bendera’

Suspek ditahan, Akmal tunda ‘kelas bendera’

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menangguhkan ‘kelas memasang bendera’ terhadap individu yang me­ngibarkan bendera Malaysia secara terbalik di Pulau Pinang selepas polis menahan suspek.

Muhamad Akmal berkata, tindakan tersebut diambil bagi memberi ruang kepada proses pendakwaan terhadap individu berkenaan.

“Namun, jika ada pihak lain yang berani mencabar selepas ini, kami sedia turun untuk mengajar sekali lagi,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal berkata, pihaknya turut mendesak pendakwa raya dan mahkamah menjatuhkan hukuman berat supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat, tanpa mengira bangsa atau latar belakang.

Beliau berpendapat hukuman sedia ada terlalu ringan dan menggesa undang-undang baharu digubal dengan me­netapkan hukuman lebih berat, termasuk penjara sehingga 10 tahun.

“Kalau hanya denda RM1,000 atau RM100, orang akan pandang sebelah mata. Hukuman mesti lebih berat supaya tiada sesiapa berani menghina kedaulatan negara kita,” tegasnya.

Individu berkenaan disiasat di bawah tiga peruntukan undang-undang iaitu Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Bagaimanapun, kenyataan Muhamad Akmal yang mahu mengadakan kelas tersebut dilihat sebagai satu bentuk ancaman terhadap keharmonian dan keamanan negara.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek berkata, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu juga dianggap sebagai kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan termasuk ugu­tan jenayah (Seksyen 503)­ iaitu meng­hina dengan sengaja (Sek­syen 504) serta mengeluar­kan kenyataan yang boleh membawa kepada khianat awam (Seksyen 505) dan pencerobohan jenayah.

“Sebagai seorang ahli politik yang berada dalam kerajaan Madani, kenyataan dibuat Akmal sepatutnya dilihat sebagai ancaman serius terhadap ke­amanan dan keharmonian negara,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, polis telah menahan suspek lelaki berusia 59 tahun yang dipercayai mengibarkan bendera Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik di hadapan sebuah kedai perkakasan rumah di Kepala Batas.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Pulau Pinang esok (hari ini) dengan cadangan pertuduhan,” katanya.

Ujarnya, setakat ini pihak­nya menerima 16 laporan berhubung insiden itu iaitu 12 laporan di negeri ini dan empat lagi di kontinjen luar Pulau Pinang.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan UMNO Bahagian Kepala Batas sebelum ini turut tampil membuat laporan polis termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN