KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Menara Dius Api yang merupakan kompleks baharu Ibu pejabat Jabatan Laut Malaysia (JLM) di Pelabuhan Klang hari ini.
Baginda tiba di lobi utama kira-kira pukul 11 pagi disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook serta Ketua Pengarah JLM, Datuk Dickson Dollah dan dibawa melihat pameran pelan pembangunan kompleks Menara Dius Api.
Perasmian kompleks 12 tingkat itu menjadi simbolik penting kepada peningkatan keselamatan dan kecekapan pengurusan trafik maritim negara ini yang menempatkan Pusat Kawalan Sistem Trafik (VTS) berteknologi tinggi.
Ia berupaya memantau lebih 200 kapal setiap hari di Selat Melaka selain menyediakan maklumat navigasi yang tepat serta amaran awal bahaya bagi meningkatkan keselamatan pelayaran di sepanjang perairan tersebut.
Anthony Loke berkata, Menara Dius Api merupakan platform untuk memperkukuh kerjasama strategik antara Kementerian Pengangkutan, JLM dan pelbagai agensi lain dalam memastikan keselamatan maritim supaya ekonominya dapat berkembang pesat.
“Lokasi strategik Selangor dan Pelabuhan Klang sebagai salah satu pelabuhan tersibuk di dunia memainkan peranan amat penting dalam ekosistem maritim Malaysia. Kewujudan Menara Dius Api amat tepat pada masanya.
“Selat Melaka adalah salah satu laluan perkapalan tersibuk di dunia. Purata kira-kira 200 kapal setiap hari melaluinya termasuk kapal tangki minyak gergasi, kargo kontena dan sebagainya iaitu kira-kira satu perlima daripada jumlah perdagangan global,” katanya sewaktu berucap pada Perasmian Menara Dius Api, hari ini.
Tambahnya, kewujudan dan kecekapan operasi VTS merupakan benteng utama dalam mencegah pelanggaran kapal, menguruskan situasi kecemasan maritim seperti tumpahan minyak atau kapal terkandas.
Menara Dius Api mula dibina pada 1 Disember 2017 menerusi peruntukan berjumlah RM93.7 juta di bawah Tabung Manah Lembaga Dius Api, Akta Persekutuan Dius Api 1953. Ia siap dibina sepenuhnya pada 2021 dan beroperasi secara rasmi tahun lalu.
Kata Anthony Loke, Menara Dius Api dibina menggunakan rekaan beririkan kapal persiaran bagi menggambarkan identiti JLM sebagai peneraju utama sektor maritim di negara ini.
“Menara itu dilengkapi VTS yang diiktiraf dan memenuhi piawaian antarabangsa Pertubuhan Antarabangsa Bantuan Laut bagi Tunjuk Arah dan Pihak Berkuasa Rumah Api (IALA). JLM juga berperanan aktif dalam membentuk piawaian tersebut di peringkat global. JLM adalah arkitek perairan Malaysia di persada antarabangsa.
“Dengan adanya kemudahan lebih baik itu, diharapkan JLM dapat terus memainkan peranan sebagai agensi utama peneraju dalam menjaga keselamatan dan kelestarian persekitaran maritim negara,” ujarnya.










