IPOH: Ifwat Arrafi Mohd. Amin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abd Razak, Bagan Datuk muncul pemenang Pertandingan Pidato Bahasa Melayu Sekolah Menengah Atas yang diadakan di sini semalam.
Pertandingan itu merupakan antara kategori yang dipertandingkan dalam Program Menyemai Semangat Kesetiaan Kepada Raja dan Negara sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan 2025 melibatkan sekolah-sekolah di negeri ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke pertandingan tersebut dan menyampaikan hadiah kemenangan.
Berangkat sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Sebanyak 19 kategori pertandingan yang diadakan dengan merekodkan seramai 181,223 penglibatan murid dan pelajar dari 12 daerah.
A. Sandra Ann dari SMK St. Bernadette’s Convent pula muncul johan Pidato Bahasa Inggeris Sekolah Menengah Atas.
Nurul Alya Fatini Ahmad Rozi dari SMK Sultan Abdullah dan Shivanni dari SMK Ulu Bernam masing-masing diumumkan sebagai johan Pidato Bahasa Melayu dan Inggeris bagi kategori Sekolah Menengah Rendah.
Antara pertandingan lain yang diadakan ialah Pidato Bahasa Melayu dan Inggeris Sekolah Rendah, Menulis Esei Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris (Sekolah Menengah Atas, Sekolah Menengah Rendah dan Sekolah Rendah).
Pertandingan lain ialah Mengarang Sajak (Sekolah Menengah), Melukis Poster (Sekolah Menengah), Melukis Poster (Sekolah Rendah), Melukis Karikatur (Sekolah Menengah), Bicara Berirama (Sekolah Menengah), Choral Speaking (Sekolah Menengah) dan Koir (Sekolah Menengah).
Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Safuan Raba’ai semasa menyampaikan ucapan berkata, program itu mempamerkan potensi murid di seluruh negeri ini.
“Sokongan ini telah membentuk murid untuk berani tampil ke hadapan malah memiliki kesedaran mendalam tentang erti kedaulatan dan tanggungjawab sebagai warganegara yang setia,” katanya. – UTUSAN










