Sokongan akar umbi dorong Ahmad Samsuri masuk gelanggang

Sokongan akar umbi dorong Ahmad Samsuri masuk gelanggang

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sokongan padu daripada akar umbi menjadi dorongan utama Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bertanding mempertahan jawatan itu pada pemilihan sempena Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-71 di Alor Setar, Kedah, bulan depan.

Menteri Besar Terengganu itu berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas menerima pencalonan mencukupi daripada kawasan-kawasan parti, sekali gus memberi keyakinan kepadanya untuk terus menggalas amanah dalam saf kepemimpinan tertinggi.

“Alhamdulillah seperti yang saya maklum pada video malam tadi, setelah mendapat pencalonan yang mencukupi daripada kawasan-kawasan, saya telah bersetuju menerima pencalonan itu bagi mempertahan jawatan Naib Presiden.

“Harapan saya semoga segala amanah yang diberikan ini dapat ditunaikan sebaiknya demi kekuatan parti dan kesejahteraan umat Islam di negara ini,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, hari ini.

Ahmad Samsuri yang mula menyandang jawatan itu sejak 2019 dilihat antara tokoh kanan parti yang mendapat sokongan kukuh daripada perwakilan akar umbi.

Muktamar Pas ke-71 berlangsung di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut dari 11 hingga 16 September ini dengan menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi. 

 Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang berkata, keputusan untuk bertanding bukan atas dorongan individu tertentu sebaliknya kerana amanah diberikan oleh perwakilan di seluruh negara.

“Ini satu tanggungjawab besar, bukan hanya untuk parti tetapi juga memastikan suara negeri seperti Terengganu terus didengari di peringkat Pusat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN