BANGI: Suami Zehra Zambri, Nur Mohd Iqwan Samsudin hanya akan menceraikan isterinya jika empat tuntutan cerai yang dikemukakan penyanyi itu kepada mahkamah, digugurkan.
Nur Mohd Iqwan yang ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pagi ini memaklumkan dia tetap dengan keputusan itu bagi mengelakkan implikasi undang-undang di kemudian hari.
“Saya tak ada masalah ceraikan dia, cuma saya tetap mahu dia gugurkan empat daripada lima tuntutan yang dikemukakannya sebelum ini.
“Contohnya, dakwaan kononnya saya abaikan keluarga, itu perlu dijelaskan.
“Akan timbul implikasi undang-undang jika dia tidak tarik empat tuntutan tersebut.
“Di penghujung nanti saya tetap akan ceraikan dia,” katanya.
Nur Mohd. Iqwan hadir ke mahkamah hari ini bagi mengikuti sesi pelantikan hakam berhubung proses perceraiannya dengan penyanyi berkenaan.
Zehra turut hadir ditemani bapanya, Zambri Ahmad serta peguam, Abd. Muiz Samsuri.
Tambah Nur Mohd Iqwan lagi, dia sebelum ini pernah menyatakan kepada pihak Zehra bahawa dia boleh menceraikan isterinya itu menggunakan talak raj’i.
“Namun, jika tiada persetujuan dicapai, keputusan akan diserahkan kepada mahkamah untuk menetapkan hak cerai,” ujarnya.
Zehra pada Mac lepas memfailkan permohonan cerai dengan lima tuntutan termasuk dakwaan berhubung nafkah serta terjadinya keganasan rumah tangga.
Mahkamah menerusi hasil keputusan Jawatankuasa Pendamai pada 14 Julai lalu mendapati berlaku Syiqaq (pergaduhan berpanjangan) antara pasangan suami isteri tersebut.
Untuk rekod, Zehra dan Iqwan berkahwin pada 10 November 2021. Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Zahiyah Iqleela. – UTUSAN