Seorang lagi penunggang motosikal Yamaha RXZ maut

Seorang lagi penunggang motosikal Yamaha RXZ maut

ANGGOTA polis memeriksa keadaan motosikal ditunggang Hariz Fahmi Shaizuren Amin yang maut di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Bukit Besi, Terengganu. -UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN : Seorang penunggang motosikal Yamaha RXZ maut dalam kemalangan di Kilometer 370 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran hentian rehat dan rawat Bukit Besi di sini, tengah hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, mangsa, Hariz Fahmi Shaizuren Amin, 29, berasal dari Seri Kembangan, Selangor, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan di beberapa bahagian badan. 

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama beberapa rakannya yang menunggang motosikal jenis yang sama sedang dalam perjalanan menuju ke Gong Badak, Kuala Terengganu untuk menghadiri program RXZ Members 7.0. 

Motosikal yang ditunggang mangsa bergesel dengan salah sebuah motosikal rakannya menyebabkan kenderaan itu terbalik dan mangsa tercampak ke atas jalan raya. 

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir ketika dihubungi mengesahkan kejadian. 

Menurutnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut. 

Hariz Fahmi adalah mangsa ketiga yang dilaporkan maut kemalangan ketika dalam perjalanan untuk menyertai perhimpunan RXZ Members di Gong Badak.

Terdahulu, seorang eksekutif jualan Bank Islam dilaporkan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dalam perjalanan ke program RXZ Members 7.0 di Terengganu terbabas dan melanggar tebing jalan di Jalan Palong 8, Bera, Pahang.

Kemudian, seorang jururawat wanita yang ingin menyertai program Himpunan RXZ Members 7.0  dilaporkan maut selepas motosikal Yamaha RXZ ditunggangnya kemalangan di Kilometer 394 Lebuhraya Pantai Timur, berhampiran Ajil, Hulu Terengganu. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN