JOHOR BAHRU: Semangat patriotisme yang menebal dalam diri Awang Sebawi Awg Halil mendorongnya menghiasi kediamannya di Desa Rahmat, Tampoi dengan kibaran 200 bendera pelbagai saiz sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
Jurukamera sambilan itu berkata, inisiatif tersebut bermula secara kecil-kecilan kira-kira lima tahun lalu dengan hanya dua helai bendera, sebelum jumlahnya bertambah setiap tahun sehingga mencecah ratusan pada masa kini.
“Saya pasang bendera ini bukan sahaja untuk menceriakan suasana sambutan kemerdekaan, tetapi juga sebagai tanda cinta kepada negara.
“Melihat bendera berkibar setiap kali pulang ke rumah memberi satu kepuasan dan kebanggaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Awang Sebawi, 60, berkata, bendera-bendera tersebut dipasang di sekeliling rumah, pagar, dan halaman, menjadikan kediamannya antara paling menonjol di kawasan kejiranan itu setiap kali tiba bulan Ogos.
“Saya gembira kerana jiran-jiran juga memberi sokongan malah ada yang mula memasang bendera di rumah masing-masing selepas melihat usaha saya ini,” ujarnya.
Katanya, dia akan meneruskan tradisi ini selagi kudrat mengizinkan dan berharap lebih ramai rakyat Malaysia turut mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat patriotisme.-UTUSAN










