RIM mohon perincian dana khusus buat sektor muzik - Utusan Malaysia

RIM mohon perincian dana khusus buat sektor muzik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menyambut baik pengumuman peruntukan lebih RM130 juta bagi memperkasa industri kreatif negara, namun mengharapkan perincian khusus bagi sektor muzik dapat dijelaskan dengan lebih mendalam.

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim berkata, perincian tersebut penting bagi membolehkan pihaknya merangka cadangan pelan pembangunan industri muzik tempatan yang lebih komprehensif dan bersesuaian dengan jumlah dana yang disediakan.

Menurutnya, ketelusan mengenai jumlah peruntukan bagi setiap cabang seni akan memudahkan RIM mengemukakan kertas cadangan yang praktikal untuk pertimbangan kerajaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“RIM mengalu-alukan peruntukan lebih RM130 juta ringgit untuk industri kreatif negara. Apa yang kami harapkan ialah peruntukan khusus untuk industri muzik dapat diperincikan.

“Ini bagi memastikan cadangan pelan pembangunan yang bakal dikemukakan nanti benar-benar bersesuaian dengan jumlah bajet yang ada untuk pertimbangan sewajarnya pihak kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Rosmin memberitahu bahawa satu pelan pembangunan industri muzik tempatan yang strategik bakal dibentangkan kepada Kementerian Komunikasi dalam masa terdekat.

Tegasnya, fokus utama pelan tersebut adalah untuk melaksanakan aktiviti berimpak tinggi yang mampu membawa kandungan muzik hasil karya anak jati Malaysia menembusi pasaran antarabangsa.

“Pelan ini membabitkan pelaksanaan aktiviti-aktiviti yang akan memberi impak paling besar dalam mencapai objektif utama iaitu memperluaskan pasaran kandungan muzik tempatan ke luar negara.

“Kita mahu hasil seni penggiat muzik Malaysia tidak hanya sekadar jaguh kampung, tetapi mampu bersaing di pentas global,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Rosmin turut memberi jaminan bahawa RIM akan terus berperanan aktif dalam memberi penerangan kepada kerajaan mengenai potensi ekonomi yang dimiliki oleh industri muzik.

Ujarnya, sektor muzik bukan sekadar hiburan semata-mata, malah merupakan antara nadi utama yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negara jika diberikan sokongan yang tepat.

“Dengan pemahaman yang lebih baik tentang potensi ini, saya percaya pihak kerajaan akan terus memberi peruntukan yang khusus dan lebih besar kepada pembangunan industri muzik tempatan dalam belanjawan tahun-tahun mendatang,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri menerusi pembentangan Belanjawan 2027 mengumumkan suntikan dana berjumlah RM130 juta untuk sektor kreatif bagi menyokong penggiat seni perfileman, muzik dan kandungan kreatif tempatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini