Selebriti yang dulu menyinar, kini dirindui - Utusan Malaysia

Selebriti yang dulu menyinar, kini dirindui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dunia hiburan Korea Selatan sentiasa melahirkan selebriti berbakat bahkan, berjaya mencuri perhatian peminat di seluruh dunia. Namun, tidak semua bintangnya kekal menyinari industri.

Meskipun pernah berada di puncak populariti, terdapat beberapa figura terkenal yang mengambil keputusan untuk berundur atau menyepi daripada dunia hiburan atas pelbagai faktor.

Ada yang perlahan-lahan menghilang tanpa khabar berita. Ada juga yang berundur kerana masalah kesihatan, isu peribadi, atau sekadar mahu menjalani kehidupan yang lebih tenang di luar perhatian umum.

Berikut merupakan lima selebriti Korea Selatan yang mula dirindui ramai:-

KOO HYE SUN

Terkenal menerusi drama bersiri Boys Over Flower, pelakon, Koo Hye Sun mengambil keputusan untuk berhenti berlakon kerana mengalami masalah kesihatan serius iaitu alergi anafilaksis.

Difa­hamkan pelakon itu mempunyai alahan terhadap daging lembu, telur, makanan laut dan susu. Hye Sun juga pernah pengsan semasa penggam­baran drama You Are Too Much sehingga terpaksa menarik diri selepas episod keenam.

Selain itu, kontro­versi rumah tangga dan penceraian dengan bekas suami, Ahn Jae-hyun sekitar tahun 2020 mencetuskan banyak kritikan netizen sekali gus membuatkan aktres itu menyepi dari dunia hiburan. Bagaimanapun, Hye Sun kini lebih aktif dalam bidang seni visual dan kerja di belakang tabir.

YOON EUN HYE

Kerjaya lakonan aktres, Yoon Eun Hye mula menjunam ekoran kontroversi menciplak hasil rekaan seorang pereka fesyen Korea, Yoon Choon Ho pada 2015.

Akibat dari kontroversi tersebut, pelakon yang membintangi drama Princess Hours itu menerima kecaman hebat sehingga diboikot industri. Dia juga pernah berkongsi mengalami masalah tekanan mental, gangguan tidur dan isu keyakinan diri, menyebabkan dia mengambil masa panjang untuk pulih.

Difahamkan, karya terakhir yang dibintangi Eun Hye buat ketika ini adalah Love Alert yang ditayangkan pada 2018.

MIN HYO RIN

Kali terakhir muncul menerusi filem Uhm Bok Dong pada 2019, pelakon, Min Hyo Rin memilih untuk tidak lagi aktif dalam industri lakonan kerana mahu menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap keluarga.

Bagaimanapun, isteri kepada penyanyi terkenal, Taeyang yang merupakan ahli anggota BigBang itu tidak pernah mengumumkan pengunduran dirinya dalam bidang lakonan secara rasmi.

Antara karya yang pernah dijayakan oleh Hyo Rin adalah The Happy Loner, Romance Town, Persevere Goo Hae Ra, The Grand Heist dan Age of Milk.

LEE HONG GI

Mula aktif dalam dunia lakonan pada 2001, vokalis kumpulan FT Island, Lee Hong Gi kini lebih aktif dalam bidang muzik dan rancangan realiti. Pernah membintangi drama bersiri, You’re Beautiful, Hong Gi tidak lagi berlakon sejak 2019.

Difahamkan, penyanyi itu tidak lagi aktif dalam dunia lakonan kerana masalah kesihatan yang memerlukan dirinya melalui beberapa prosedur pembedahan. Hong Gi juga lebih selesa muncul di kaca televisyen sebagai cameo atau memegang watak kecil.

WON BIN

Pernah menjadi kegilaan ramai suatu ketika dahulu sewaktu membintangi drama Autumn In My Heart, aktor tampan, Won Bin tidak lagi berlakon sejak filem terakhirnya, The Man from Nowhere pada 2010.

Beliau sangat selektif dalam memilih skrip dan hanya mahu berlakon dalam karya yang benar-benar berkualiti. Namun, kekurangan projek yang menepati cita rasanya membuatkan kerjaya seninya semakin perlahan.

Bagaimanapun, Won Bun masih aktif menerima tawaran sebagai duta produk dan model iklan. Antara karya lain yang pernah dibintangi Won Bin adalah Propose, Ready, Go!, Jump, Friends dan Drama City.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN