TELUK INTAN: Kampung Selabak di sini semakin hilang identiti sebagai kawasan penanaman nanas terbesar di daerah ini apabila keluasan tanaman itu yang diusahakan penduduk ketika ini merosot.
Malah ketika ini hanya tinggal beberapa penduduk sahaja yang masih mengusahakan tanaman itu secara komersial manakala penduduk lain menanamnya sekadar tanaman di keliling rumah untuk kegunaan sendiri.
Pegawai Kawasan Daerah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Mohd. Azrin Rizwan berkata, kajian yang dilakukan pada tahun 2022 mendapati hanya seluas empat hektar di Kampung Selabak diusahakan dengan tanaman nanas.
Menurutnya, keluasan tanaman nanas di kampung itu semakin mengecil apabila ramai yang bertukar kepada tanaman kelapa sawit.
“Kampung Selabak memang terkenal dengan tanaman nanas sehingga diwujudkan replika buah nanas dan bazar menjual nanas di kampung itu. Malah sebelum ini boleh dikatakan 70 hingga 80 peratus tanaman nanas daerah Hilir Perak dihasilkan dari Kampung Selabak.
“Namun pengeluarannya merosot dan ketika ini Kampung Selabak membekalkan 20 peratus nanas bagi Daerah Hilir Perak. Bekalan nanas daerah ini banyak diambil dari tempat lain,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Menurutnya, antara faktor kemerosotan penghasilan nanas di kampung itu disebabkan golongan muda tidak berminat untuk meneruskan tanaman yang diusahakan keluarga mereka, sebaliknya ramai yang berhijrah mencari pekerja di tempat lain.
Katanya, selain itu banyak kawasan yang ditanam kelapa sawit.
“Mereka yang berminat menanam nanas di Daerah Hilir Perak dan Bagan Datuk boleh menghubungi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia negeri Perak terutama anak muda kerana kami memberikan bantuan benih dan baja,” katanya.
Sementara itu, Ralimon Muhamad Subari, 76, antara penduduk yang yang masih mengusahakan tanaman itu secara komersial di Kamping Selabak, itu pun di kawasan hanya seluas dua ekar.
Menurutnya, dia mula menanam nanas sejak usia 18 tahun dan masih meneruskan tanaman yang diusahakan keluarganya. – UTUSAN










