Saya tidak boleh selamanya lari daripada semua perkara - Hafiz Suip - Utusan Malaysia

Saya tidak boleh selamanya lari daripada semua perkara – Hafiz Suip

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Saya juga manusia biasa. Walaupun seorang selebriti, saya tetap ada hati dan perasaan.”

Itu pengakuan jujur penyanyi berbakat besar, Hafiz Suip, yang kembali membuka lembaran baharu dalam hidupnya selepas melalui detik-detik gelap yang menyelubungi kehidupannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menerusi satu sesi temu bual bersama Utusan Malaysia baru-baru ini, Hafiz membuka bicara bahawa dia pernah berada dalam fasa hidup yang paling mencabar, apabila segalanya terasa seolah-olah kabur dan tiada arah. 

Hidup dalam keadaan membungkam perasaan dan peperangan emosi, Hafiz mengakui dirinya bergelut dengan tekanan peribadi yang memaksa dirinya menjauh daripada dunia luar, termasuk memadamkan akaun media sosial dan menarik diri daripada kerjaya seni.

“Saya mengaku, saya pernah padam Instagram. Waktu itu, hati saya berkecamuk. Apa yang saya buat semuanya tak kena. Fikiran tak rasional. Saya fikir saya perlu ‘hilang’.

“Namun, berkat doa dan sokongan daripada keluarga, sahabat serta rakan-rakan media, saya akui perlahan-lahan membina kembali kekuatan dalam diri. 

“Saya harus akui, keluarga, sahabat dan rakan media, merekalah yang kembalikan semangat saya. Mereka cakap,  jangan tinggalkan semua ini hanya kerana masalah.

“Dan saya terfikir, itu betul. Saya tak boleh selamanya lari,”katanya. 

Dedah Hafiz lagi, satu yang dipelajarinya sepanjang tempoh pergelutan dalam diri itu ialah konsep berdamai dengan takdir. 

Bukan mudah, katanya, untuk menerima segala yang berlaku sebagai ketentuan.

Namun,  setelah melalui proses muhasabah diri, Hafiz menemui satu titik ketenangan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

“Dulu saya cepat salahkan orang. Saya belajar untuk berdamai dengan diri, dengan masa silam dan segala ujian. 

“Tetapi apabila kita redha, kita mula faham bahawa semua ini adalah ketentuan Tuhan. Damai itu bukan benda mudah, tapi ia boleh dicapai jika kita kembali kepada asas, kembali kepada Allah,” ujarnya dengan tenang. 

Pada masa yang sama, kata Hafiz, dia juga tersentuh apabila menerima mesej-mesej daripada peminat yang pernah mengalami situasi lebih berat daripada dirinya.

Katanya, ia memberi perspektif baru dalam hidup dan menyedarkannya bahawa setiap ujian datang dengan sebab tersendiri.

“Saya tak sangka begitu ramai  kongsi kisah hidup mereka. Ada yang lebih berat ujian yang ditempuhi. 

“Saya rasa, Ya Allah, aku patut lebih bersyukur. Tuhan uji kita ikut kemampuan kita. Betul kata orang, jika kita rasa ujian yang kita hadapi itu berat, ada orang lebih lagi. 

“Sama juga dengan kesilapan saya apabila pernah salah faham terhadap perhatian yang diberikan peminat. Dulu, saya  fikir orang hanya mahu menyibuk hendak tahu pasal diri saya. 

“Tapi kini saya sedar, itu tanda orang ambil berat. Kalau orang dah tak peduli, itu lebih menakutkan. Bila orang tanya, maksudnya mereka sayang. Mereka ambil tahu. Itu nikmat, sebenarnya,”katanya. 

Disebabkan itu, apabila membuat keputusan untuk meneruskan kerjaya seninya dengan tekun pada waktu ini, Hafiz mengakui tidak ada apa lagi yang harus dikejarkan terutama apabila menyebut mengenai populariti. 

Baginya, lebih baik memilih untuk lebih menghargai kehidupan selain ingin mengekalkan apa yang telah dibina sejak awal pembabitannya dalam dunia seni.

“Saya tak kejar sangat dah apa-apa. Saya cuma nak kekal. Nak terus bersama penyokong saya. Itu lebih mencabar, dan itu yang saya nak fokus sekarang.

“Dulu kita kejar  populariti, kejar penghargaan. Tapi sampai satu tahap, saya rasa, yang penting sekarang ialah untuk bertahan. Untuk kekal relevan.

“Bagi saya,  lebih mencabar daripada mengejar kejayaan ialah untuk mengekalkan hubungan dengan peminat dan menjaga legasi yang telah dibina sejak belasan tahun dahulu.

“Saya cuma nak terus ada untuk peminat. Saya nak kekalkan semangat tu. Hubungan tu lebih bernilai daripada segala-galanya,”katanya. 

Konsert Di Sebalik Aku

Selepas kejayaan konsert sulungnya di Kuching pada November tahun lalu, siapa sangka, Hafiz akhirnya bersetuju untuk tampil dengan sebuah konsert istimewa di Kuala Lumpur. 

Konsert ini, menurutnya, bukan semata-mata hiburan, tetapi simbol kepada kebangkitannya semula dalam dunia seni.

“Konsert ini bukan tentang simpati. Ia tentang berkongsi. Saya nak peminat tahu, Hafiz masih ada. Saya masih bernyawa dalam industri. 

“Saya mahu bersama-sama semua peminat mencipta satu memori indah. Peminat bukan sekadar datang menonton tetapi saya mahu mereka menyanyi bersama dari hati, bukan dari mulut sahaja,ujarnya. 

Menurut Hafiz, konsert anjuran SAH Entertainment tersebut dijangka menampilkan lebih daripada 15 buah lagu, termasuk lagu-lagu popular dari album pertamanya hinggalah kepada single terbaharu. 

Hafiz juga tidak menolak kemungkinan akan menampilkan rakan artis sebagai tetamu istimewa namun mahu menyimpan dahulu perkara itu sebagai satu kejutan buat penonton kelak. 

Mengambil serius tentang kualiti persembahannya, Hafiz memulakan persiapan lebih awal termasuk dari segi kesihatan dan kecergasan tubuh.

“Konsert ni bukan macam nyanyi dua lagu di pentas biasa. Ia perlukan stamina, fokus dan kesihatan yang baik. Saya cuba jadikan diri saya sebaik mungkin.

“Selain itu, latihan teknikal termasuk pemilihan lagu dan penyusunan persembahan dijangka bermula bulan Ogos bersama pasukan produksi yang diketuai Sufi Rashid.

“Kami bincang sama-sama. Ini bukan konsert saya seorang, tapi hasil kerja ramai orang. Saya bersyukur dapat pasukan yang faham saya,”katanya. 

Dalam pada itu, bagi mereka yang ingin mendapatkan tiket konsert, boleh layari laman sesawang ticketmelon. 

Harga tiket konsert Di Sebalik Aku: Hafiz Suip adalah seperti berikut: RM188 – Matahari, RM288 – Ku Akui, RM388 – Ombak Rindu, RM488 – Takdir Tercipta, RM588 – Awan Nano,  RM788 – Bahagiamu Deritaku. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN