BESUT: “Tiada isu ejen Perikatan Nasional (PN), saya hanya membawa suara akar umbi.”
Demikian penegasan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh bagi menjawab dakwaan sesetengah pihak mengatakannya ejen PN, sebaliknya beliau hanya membawa suara akar umbi yang mahu parti itu kembali kepada landasan perjuangan asal apabila lantang bersuara.
“Kalau saya ejen PN, saya boleh duduk dalam PN sahaja tapi hari ini adalah kita bawa suara dan hasrat akar umbi. Walaupun pahit kita kena terima sebab dalam perjuangan ini tidak semuanya manis, kadangkala pahit itu ubat dan ubat itulah boleh mengubati dan boleh menyembuhkan.
“Jadi, kepada yang tuduh saya ejen PN tu, ambil cermin tengok diri sendiri,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Pemuda UMNO Terengganu sempena sambutan ulang tahun ke-76 pergerakan itu di Dewan Terbuka Astaka Jerteh di sini, malam tadi.
Muhammad Akmal berkata, beliau adalah ejen ahli-ahli UMNO yang mahu parti itu kekal relevan dan diterima semula oleh rakyat, yang mana dia membawa suara mereka yang mendesak perubahan.
Katanya, serangan terhadapnya dalam media sosial dengan pelbagai gelaran negatif hanya melemahkan parti, sedangkan UMNO sepatutnya bersatu menghadapi cabaran semasa.
Sementara itu, katanya, kerjasama UMNO dalam Kerajaan Perpaduan perlu dilihat secara realistik kerana parti itu kini hanya mempunyai 26 kerusi Parlimen, berbanding lebih 80 kerusi suatu ketika dahulu.
“Hari ini kita sedia maklum bahawa UMNO hanya tinggal 26 kerusi. Kita perlu menginsafi dan seharusnya mengambil iktibar di sebalik makna yang diberikan oleh rakyat kepada UMNO setelah hanya tinggal 26 kerusi.
“Rakyat mahukan satu gaya politik yang segar. Rakyat mahukan gaya politik yang jauh lebih matang, walaupun kita bersama dengan siapa, tetapi kita tidak pernah langsung yang mana mereka mahukan UMNO menjadi payung orang Melayu,” katanya.
Beliau berkata, Pemuda UMNO akan terus memainkan peranan penting sebagai benteng hadapan dalam mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara, selaras dengan semangat perjuangan sejak 1949. – UTUSAN










