Saya akan berubah pada masa yang tepat - Daiyan Trisha - Utusan Malaysia

Saya akan berubah pada masa yang tepat – Daiyan Trisha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha, mengakui sudah lali dengan kecaman berhubung gaya pakaian seksi walaupun kerap menunaikan ibadah umrah.

Menurut Daiyan atau Daiyan Trisha binti Mohd Nasaruddin, 32, dia menganggap komen sebegitu sebagai asam garam anak seni selain menyifatkan umrah sebagai hubungan peribadi seorang hamba dengan Tuhannya.

“Komen sebegitu adalah sesuatu yang saya kena hadap. Urusan sudah pergi umrah atau belum, saya fikir itu hubungan peribadi saya dan Allah. Bab itu saya tidak boleh komen banyak.

“Cuma saya faham mengapa orang lontarkan komen tentang pakaian dan sebagainya. Tiada apa yang saya nak cakap selain daripada saya hanya menjadi diri saya dan sentiasa cuba untuk berubah pada masa yang tepat.

“Setiap orang ada pendapat, persepsi masing-masing. Tapi saya juga ada persepsi sendiri tentang perjalanan saya. Jadi sekali lagi, saya terima sahaja,” katanya.

Daiyan ditemui Utusan Malaysia di sidang media Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) di Bangsar pada Khamis.

Bagaimanapun, pengalaman lebih sedekad bergelar anak seni membuatkan penyanyi Lovelorn itu tidak cepat melatah malah menerima segala nasihat yang diberikan orang ramai dengan hati terbuka.

“Saya fikir, komen sebegitu adalah sesuatu yang perlu saya terima sepanjang bergelar anak seni. Namun, saya masih dalam proses cuba memperbaiki diri. Jadi segala nasihat, teguran atau komen orang ramai saya terima.

“Daripada pihak saya, saya akan lakukan yang terbaik. Mungkin esok, lusa saya akan cuba sesuatu yang baru. Kita tidak tahu, kan? Jadi saya terima sahaja apa yang diberikan dan perlu cepat beradaptasi sebagai anak seni,” jelasnya.

Berkongsi cara untuk kekal tenang menghadapi kecaman, Daiyan selalu berfikiran positif dan beranggapan segala yang terjadi hanyalah sebuah fasa dalam kehidupan.

“Saya memang seorang yang positif, beginilah saya. Saya akan cuba lakukan yang terbaik daripada segi pemakaian, akhlak dan apa jua sekalipun,” tambahnya.

Tercalon menerusi dua kategori iaitu Selebriti Feminin Terhangat dan Selebriti Stylo Terhangat AMT 2025, Daiyan mengakui teruja namanya sebaris dengan bintang hebat tanah air yang lain.

“Menjadi ‘stylo’ bagi saya mungkin cita rasa, gaya dan keberanian untuk cuba benda-benda baru dan berbeza daripada yang lain. Berkenaan kategori feminin itu, entahlah, femininkah saya?

“Mungkin orang melihat dari segi penampilan, perwatakan. Kalau ada rezeki untuk menang, menanglah saya. Tapi saya mahu meraikan usaha peminat yang sudah undi untuk saya banyak kali,” tambahnya.

Malam kemuncak Anugerah Melodi Terhangat 2025 akan berlangsung pada 3 Ogos 2025, jam 9 malam, dari Dewan Putra, Putrajaya International Convention Centre (PICC)- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN