Sasar produk peladang di 32 stesen minyak Petronas

Sasar produk peladang di 32 stesen minyak Petronas

MAJLIS Peluncuran Pemasaran Produk Peladang Bersama Rakan Niaga Petronas yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh (empat dari kanan) di Semabok, Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menyasarkan peluasan pemasaran produk peladang di 32 stesen minyak Petronas di Melaka dalam tempoh dua tahun, sekali gus menjadi model perintis sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan LPP, Mohd Fauzi Badron berkata, inisiatif itu bermula dengan lapan stesen minyak Petronas di negeri ini sejak Julai lalu, yang kini sudah menunjukkan manfaat kepada peladang.

“Walaupun keuntungan yang diperoleh peladang tidaklah besar, yang penting kita berjaya memberi pulangan langsung kepada ahli peladang tanpa melalui orang tengah.

“Malah, harga produk segar yang dijual di stesen Petronas ini adalah sehingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran kerana ia terus dari ladang,” katanya selepas Majlis Peluncuran Pemasaran Produk Peladang Bersama Rakan Niaga Petronas di Semabok di sini, semalam.

Mohd. Fauzi berkata, Melaka menjadi negeri perintis berikutan persetujuan kerjasama dengan Petronas Wilayah Selatan, sebelum strategi sama diperluas ke negeri lain.

Beliau berkata, produk yang dipasarkan merangkumi sayuran, buah-buahan, ayam, daging lembu serta kambing segar yang dihasilkan oleh ahli peladang seluruh negara.

Katanya, sebanyak RM50 juta diperuntukkan LPP tahun ini bagi projek pemasaran produk pertanian termasuk memperkukuh strategi pengedaran melalui jaringan Petronas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×