Sarawak tidak rampas hak orang, berdosa - Abang Jo

Sarawak tidak rampas hak orang, berdosa – Abang Jo

ABANG Johari menerima cenderahati daripada Pengerusi MPP, Tan Kai selepas menyempurnakan majlis pecah tanah kompleks pejabat baharu Majlis Perbandaran Padawan (MPP) di Batu 12, Jalan Kuching-Serian, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADAWAN: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan kerajaan pimpinannya akan terus menambah pendapatan dengan berlandaskan undang-undang dan hak yang ada, khususnya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, Kerajaan Sarawak tidak pernah merampas hak mana-mana pihak dalam menjana pendapatan, yang menyaksikan pendapatan Sarawak bertambah daripada RM6 bilion kepada RM14 bilion dalam tempoh enam tahun.

“Kita tidak merampas hak orang lain, kita hanya guna hak sendiri untuk memberi keselesaan kepada rakyat Sarawak…kita masuk Malaysia dulu memang ada MA63.

“Kita patuh kepada MA63, itulah perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan saya dan rakan-rakan.

“Saya tahu merampas hak orang adalah berdosa, begitu juga orang lain yang merampas hak kita adalah berdosa…jadi yang diambilnya, mesti dikembalikan,” katanya berucap ketika menyempurnakan majlis pecah tanah kompleks pejabat baharu Majlis Perbandaran Padawan (MPP) di Batu 12, Jalan Kuching-Serian, hari ini.

Baru-baru ini, dilaporkan bahawa peguam terkemuka, Datuk Mohd Zaid Ibrahim menegaskan bahawa PETROS, syarikat minyak dan gas milik Kerajaan Sarawak tidak seharusnya diberikan peranan sebagai pengagregat tunggal gas di Sarawak kerana langkah sedemikian boleh menjejaskan daya saing komersial PETRONAS serta menggugat struktur persekutuan negara.

Zaid berkata, jika PETROS diberi kuasa eksklusif untuk mengagregatkan gas, ia bukan sahaja menimbulkan persoalan dari segi legaliti, malah boleh menjadi contoh awal kepada penguasaan hasil persekutuan oleh kerajaan negeri.

Sementara mengenai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) baharu yang akan dibangunkan berdekatan Tanjung Embang di Kota Samarahan, Abang Johari menegaskan ia bukan sekadar bagi menangani kesesakan di LTAK sedia ada tetapi juga pembangunan masa depan.

“Ini juga untuk masa depan kita, mana dapat tengok lapangan terbang sekarang sudah sendat, nak cari tandas pun susah.

“Dulu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pun semua orang merungut…jadi begitu juga LTAK, Kuching tidak akan pergi ke belakang tapi terus maju.

“Kita rancang sebaik-baiknya, memang ada kos tapi kita guna simulasi kewangan yang tidak menjejaskan kedudukan kewangan kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN