KUCHING: Kerajaan Sarawak dijangka membelanjakan sebanyak RM10 bilion untuk menyediakan bekalan air terawat di seluruh wilayah itu menjelang 2030.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata dana itu dibiayai oleh Kerajaan Sarawak sendiri, sebagai komitmen dalam mencapai liputan bekalan air terawat sepenuhnya.
Menurutnya, sejak 2018 hingga sekarang, peruntukan sebanyak RM6 bilion telah diluluskan bagi melaksanakan projek bekalan air yang merangkumi naik taraf serta bina baharu loji rawatan air.
Manakala, katanya sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan untuk program menaik taraf dan penggantian paip air lama/ uzur sepanjang 2,740 kilometer di seluruh Sarawak sekali gus mengurangkan kehilangan air tidak terhasil (NRW).
Pada masa sama, Abang Johari berkata selain daripada bekalan air yang disediakan melalui loji rawatan air dan sistem grid air, kerajaan juga membekalkan air ke kawasan pedalaman terpencil melalui program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS).
“Begitu banyak yang kita perlu lakukan iaitu dari segi naik taraf serta bina baharu loji rawatan air, penggantian paip air lama termasuklah penyambungan ke grid yang memerlukan sekurang-kurangnya RM2 bilion.
“Jadi sasaran kita semuanya mesti siap menjelang 2030 dan ini bergantung kepada dana kita,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran Sarawak Water Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Sementara itu, Abang Johari berkata Sarawak diberkati dengan banyak sumber air, antaranya sungai, landskap muka bumi terutama pokok dan gunung serta menerima banyak hujan sepanjang tahun.
Justeru, katanya nikmat yang ada pada Sarawak itu hendaklah diurus dengan pintar.
“Malangnya, kos untuk kita mengurus air ini tinggi dan 60 tahun kita merdeka, banyak lagi tempat kita yang tidak dapat air disebabkan oleh kos yang tinggi dan juga penempatan kita seperti kampung-kampung, rumah panjang yang berselerak.
“Walaupun demikian, kita telah mengambil keputusan untuk membekalkan air terawat daripada teknologi baharu termasuklah menerusi SAWAS, dan ini berkehendakkan kaedah-kaedah baharu dan pelaburan yang tinggi,” katanya.
Sehubungan itu, Abang Johari berkata penubuhan Sarawak Water merupakan komitmen Kerajaan Sarawak dalam membangunkan bekalan air, sama ada untuk pengguna mahupun bagi kegiatan ekonomi.
“Kita juga perlu membekalkan air kepada industri dan dengan adanya pembangunan itu yang ditambah lagi dengan pendapatan menerusi tenaga, masa depan kita akan cerah,” katanya.
Sarawak Water yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak melalui SFS Incorporated, adalah menggabungkan Lembaga Air Kuching (KWB), Lembaga Air Sibu (SWB) dan LAKU Management
Sdn. Bhd. (LAKU) menjadi satu entiti.
Manakala, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dikekalkan sebagai agensi Kerajaan Sarawak untuk mengurus pembinaan
infrastruktur pembekalan air bersih khususnya ke kawasan luar bandar Sarawak.
Turut hadir Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi.-UTUSAN









