GPS tunggu isyarat PM untuk rundingan tambah kerusi Parlimen

GPS tunggu isyarat PM untuk rundingan tambah kerusi Parlimen

ABANG Johari Tun Openg berucap pada Hari Integriti DBOS di Kuching, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersedia untuk terus berunding dengan Putrajaya bagi mencapai pertambahan satu pertiga kerusi Parlimen bagi wilayah itu.

Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia memandangkan penambahan konstituensi itu bergantung kepada Kerajaan Persekutuan dan prerogatif Perdana Menteri.

“Kita ucap terima kasih kepada Perdana Menteri sebab bersetuju untuk menambahkan kerusi Parlimen.

“Sama ada ia boleh menetapi satu pertiga, kita runding kerana Parlimen terpulang kepada Kerajaan Persekutuan, terpulang pada Perdana Menteri.

“Kita tengok macam mana nanti…kalau beliau panggil, kita rundinglah, kalau tidak panggil, diam dulu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Integriti Bank Pembangunan Sarawak Berhad (DBOS) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan bahawa kerajaan secara dasarnya bersetuju menambah bilangan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak mengambil kira jumlah pengundi di kedua-dua negeri terbabit.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, setakat ini tiada komitmen untuk meningkatkan jumlah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak sehingga satu pertiga daripada keseluruhan kerusi, namun kerajaan komited untuk menambah bilangan kerusi mengikut keperluan.

Katanya penambahan kerusi itu juga antara perkara yang dibincangkan dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (ЈКТМТРМ63).

Pada masa ini, Sabah dan Sarawak masing-masing memiliki 25 dan 31 kerusi Parlimen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN