SEGAMAT: Sambutan Hari Kebangsaan di sini tetap meriah, meskipun tiada perarakan kontinjen disebabkan kejadian gempa bumi baru-baru ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rakyat berbilang kaum tetap hadir menunjukkan semangat patriotik dan kasih sayang terhadap tanah air tercinta.
Pegawai Daerah Segamat, Mohd. Ezzuddin Sanusi berkata, walaupun disambut secara sederhana, namun tetap meriah dengan perbarisan statik yang diadakan di Dataran Segamat melibatkan 52 kontinjen pelbagai agensi.
“Perbarisan statik hari ini bagi meraikan dan membuktikan negara Malaysia adalah sebuah negara yang merdeka serta berdaulat dengan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-68. Walaupun Segamat dilanda gempa bumi lemah baru-baru ini, ia tidak merencatkan Sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 pagi ini.
“Malah sambutan ini adalah masa yang tepat untuk rakyat Segamat menunjukkan semangat patriotisme dan cintakan negara dengan perasaan penuh bangga,” katanya ketika ditemui.
Mohd. Ezzuddin berkata, menyemai sifat bangga dengan kibaran Jalur Gemilang juga adalah antara ciri penting dalam pembinaan negara yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya.
Perbarisan dan perarakan di Pentas Lintas Hormat Hari Kebangsaan 2025 telah dibatalkan dan majlis hanya diadakan di Pentas Utama, Dataran Segamat.
Pertandingan Pakaian Terbaik dan Pertandingan Sepanduk Terbaik sahaja diteruskan manakala Pertandingan Perbarisan dibatalkan.
Malam semalam, kira-kira 200 orang warga Segamat meraikan ambang merdeka dengan menghadiri program Segamat Bermunajat dengan solat Maghrib dan Isyak berjemaah, solat hajat, bacaan yasin serta zikir dan forum di Dataran Segamat.
Segamat merekodkan enam gegaran gempa bumi lemah dalam tempoh seminggu iaitu yang terbaharu pada pukul 7.29 pagi semalam dengan magnitud 2.7 skala Richter. – UTUSAN










