KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terdapat kemungkinan beberapa kelemahan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025, namun beliau menegaskan perkara itu bukan alasan untuk pihak tertentu membantah RUU berkenaan.
Perdana Menteri berkata, pihak berkenaan sebaliknya wajar mengemukakan cadangan penambahbaikan berbanding membuat dakwaan kononnya kerajaan mahu merampas rumah didiami rakyat untuk pembangunan semula.
“Soal nilai ambang yang menjadi antara isu pertikaian dalam RUU ini, boleh dibincangkan semasa perbahasan. Namun, pengalaman peribadi saya menunjukkan keperluan pembangunan semula yang adil.
“Contohnya, rumah di Seri Perlis yang hanya satu bilik dan teruk keadaannya, dihuni dua keluarga dengan seorang daripada mereka mempunyai enam anak. Jika ada cadangan lain untuk menambah baik RUU PSB 2025, kemukakanlah.
“Tetapi jangan dakwa seolah-olah kerajaan mahu merampas rumah,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai rasional nilai ambang dalam RUU PSB 2025 untuk pembangunan semula bandar.
Anwar berkata, tanggungjawab kerajaan adalah mencari kaedah membangunkan semula rumah dengan minimum tiga bilik bagi satu keluarga.
“Ya, mungkin ada beberapa kelemahan, tetapi kita akan berusaha memperbaiki kelemahan tersebut. Serangan melulu tanpa sebarang cadangan penambahbaikan tidak membantu sesiapa,” katanya. – UTUSAN










