WASHINGTON: Belgium diingatkan agar tidak terus bergantung kepada kebangkitan dramatik jika berhasrat melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Dunia selepas bangkit menewaskan Senegal 3-2 untuk mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir.
Pertahanan Belgium, Timothy Castagne berkata, kemenangan luar biasa itu sememangnya membangkitkan semangat pasukan, namun mengakui mereka perlu memperbaiki banyak kelemahan sebelum berdepan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin ini.
Belgium yang ketinggalan 0-2 sehingga penghujung perlawanan berjaya mencipta kebangkitan menakjubkan apabila menjaringkan tiga gol, sekali gus mengelak penyingkiran awal.
“Ia memang satu perlawanan yang penuh emosi. Pada minit ke-80, saya rasa tiada siapa menyangka kami mampu mengubah keputusan dalam tempoh lima minit.
“Namun, kami tidak boleh terus bergantung kepada situasi seperti itu. Banyak perkara perlu diperbaiki kerana kami tidak mahu terus berada dalam kedudukan yang sukar,” katanya.
Castagne turut mengakui dia meluangkan masa selepas perlawanan dengan menyaksikan rakaman video penyokong Belgium meraikan kemenangan, sambil menyifatkan sokongan yang diberikan sebagai sesuatu yang cukup bermakna buat pasukan.
Dalam pada itu, wira kemenangan Belgium, Youri Tielemans yang menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-89 sebelum menyempurnakan sepakan penalti kemenangan pada minit ke-125, tidak menyertai latihan pasukan semalam bagi menjalani proses pemulihan.
Turut tidak menjalani latihan ialah Kevin De Bruyne manakala Jeremy Doku kembali berlatih selepas dikeluarkan pada babak kedua ketika menentang Senegal.
Keputusan jurulatih Rudi Garcia menggantikan De Bruyne dan Doku ketika Belgium masih ketinggalan sebelum ini mengundang kritikan, namun tindakan tersebut akhirnya membuahkan hasil apabila pemain gantian, Dodi Lukebakio memberi impak positif kepada corak permainan pasukan.
Menurut Castagne, keputusan itu membuktikan Garcia tidak memilih pemain berdasarkan reputasi semata-mata.
“Jurulatih menunjukkan bahawa tiada siapa kebal daripada digantikan. Tidak kira siapa anda, jika keadaan memerlukan perubahan, beliau akan melakukannya demi kepentingan pasukan,” katanya.
Belgium dijadualkan bertemu AS pada aksi pusingan 16 terakhir di Seattle, namun Castagne percaya sokongan padu penyokong tuan rumah boleh menjadi tekanan jika mereka gagal mempamerkan aksi terbaik sejak awal perlawanan. – AGENSI










