Sepanyol mudah atasi Austria, mara ke pusingan 16 terbaik

Sepanyol mudah atasi Austria, mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia

PEMAIN Sepanyol, Mikel Oyarzabal meledak gol kedua peribadinya ketika membantu pasukannya menewaskan Austria 3-0 di Stadium Los Angeles, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Sepanyol mempamerkan penguasaan penuh apabila menewaskan Austria 3-0 dalam aksi pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 di Stadium Los Angeles, semalam, sekali gus melangkah ke pusingan 16 terbaik dengan bergaya.

Juara Eropah itu tidak berdepan banyak masalah mengawal permainan sejak awal perlawanan apabila mendominasi penguasaan bola dan terus menekan benteng Austria yang serba tidak menjadi.

Sepanyol membuka jaringan pada minit ke-36 menerusi Mikel Oyarzabal yang menyudahkan hantaran cantik Marc Cucurella hasil gerakan kemas di sebelah kiri.

Sebelum itu, Austria beberapa kali cuba bertahan dengan disiplin tinggi, namun tetap gagal mengekang asakan bertali arus pasukan lawan yang diketuai oleh pemain tengah muda berbakat, Lamine Yamal dan Pedri.

Pemain Sepanyol, Lamine Yamal melepaskan rembatan kencang ketika bertemu Austria dalam pusingan kalah mati Piala Dunia 2026 di Los Angeles, semalam. – AFP

Austria hampir dihukum lebih awal apabila beberapa percubaan Sepanyol berjaya dinafikan penjaga gol Alexander Schlager, selain sepakan percuma Alex Baena yang hanya singgah di palang gol.

Bersambung babak kedua, Austria cuba mengubah rentak permainan dengan memasukkan dua penyerang, Sasa Kalajdzic dan Marko Arnautovic namun usaha itu masih gagal mengubah keadaan.

Pemain Sepanyol meraikan kejayaan mereka selepas mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2026. – AFP

Sepanyol menggandakan kedudukan pada minit ke-66 apabila Pedro Porro menanduk masuk hantaran lintang Baena untuk gol antarabangsa pertamanya.

Benteng Austria terus tertekan apabila beberapa percubaan berbahaya Sepanyol berjaya dipatahkan, termasuk satu tindakan penting di garisan gol oleh David Alaba.

Ketika perlawanan hampir tamat, Sepanyol melengkapkan kemenangan bergaya menerusi gol kedua Oyarzabal pada minit ke-89 selepas menerima hantaran Cucurella dalam kotak penalti.

Kemenangan itu menyaksikan Sepanyol kini menanti pemenang antara Portugal atau Croatia bagi aksi pusingan 16 terbaik. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN