KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 bukan bertujuan memperluas kuasa Menteri Kewangan, sebaliknya untuk memperkukuhkan prinsip semak dan imbang serta memperkenalkan mekanisme kawalan lebih telus.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dakwaan Menteri Kewangan diberikan kuasa mutlak adalah tidak tepat kerana kuasa untuk meluluskan dan mengecualikan perolehan telah termaktub dalam Akta Tatacara Kewangan 1957.
“RUU Perolehan Kerajaan ini tidak menambah kuasa baharu sebaliknya menghadkan kuasa sedia ada dengan mewajibkan proses semakan melalui tribunal rayuan, tindakan punitif dan semakan kehakiman.
“Apa sahaja keputusan boleh dicabar di mahkamah, malah Menteri juga tidak terkecuali. Tiada siapa berada di atas undang-undang,” katanya ketika sesi penggulungan RUU berkenaan di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mencelah dengan mempersoalkan integriti pelaksanaan undang-undang berkenaan dengan merujuk beberapa kes berprofil tinggi.
“Kes melibatkan bekas Setiausaha Perdana Menteri dan skandal lain seperti isu perlombongan mineral di Sabah yang tidak disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Jadi bagaimana kita boleh yakin undang-undang ini benar-benar menjamin ketelusan? Kata-kata yang dilontarkan tidak selari dengan tindakan. Inilah masalah Kerajaan Madani,” katanya.
Amir Hamzah yang menjawab celahan itu berkata, RUU berkanaan dapat mengekalkan kuasa yang telah wujud sejak 1957 malah menambah baik sistem kawalan dengan memastikan semua proses lebih telus.
“Kuasa Menteri Kewangan memang termaktub sejak 1957. Apa yang kita lakukan melalui RUUPK adalah penambahbaikan dengan meletakkan mekanisme semak dan imbang lebih jelas termasuk kewajipan mewartakan sebarang pengecualian,” katanya. – UTUSAN










