TELUK INTAN: Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar tidak menggugat hak milik dan status tanah sedia ada seperti yang menjadi kebimbangan pelbagai pihak.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, terdapat beberapa syarat penting berkenaan akta itu yang melindungi pelbagai pihak iaitu pemilik dan pemaju.
“Pertama, status tanah akan kekal sama. Jika tanah rizab Melayu, freehold (pegangan bebas) tak ada yang ubah pun.
“Kedua, jika nak buat pembaharuan semula bandar, pemilik mesti diberikan keutamaan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Projek dan Galeri Jualan Bandar PR1MA Teluk Intan di Bandar Baru Teluk Intan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Anggota Perbadanan PR1MA Datuk Seri Mohd Nazri Md. Shariff.
Kor Ming berkata, RUU Pembaharuan Semula Bandar tidak membuka peluang kepada pemaju untuk menindas pemilik dan berbuat sewenang-wenangnya kerana terdapat campur tangan secara terus kerajaan dengan pelbagai jawatankuasa.
“KIta akan jaga kepentingan awam untuk pastikan formula menang-menang.
“Sebab itu saya menyeru semua insan yang bertanggungjawab, jangan semua perkara yang baik pun nak dipolitikkan, nak dikaitkan dengan apa-apa yang tidak relevan,” katanya.
Berhubung nilai ambang persetujuan yang menjadi pertikaian pelbagai pihak, Kor Ming berkata, perkara itu akan dirunding sebelum dibawa ke Jawatankuasa Mediasi.
Beliau juga akan memastikan pampasan yang diterima setimpal dengan kejayaan pembangunan Razak Mansion dan Kampung Kerinchi. – UTUSAN