KUALA LUMPUR: Hasrat kerajaan memperluas cukai prokesihatan kepada produk rokok elektronik disifatkan sebagai pendekatan lebih wajar berbanding larangan menyeluruh.
Menyambut baik usaha tersebut, Pengarah Nanostix Innovations Sdn Bhd, Shahabudeen Jalil berkata, kawalan itu bukan sahaja melindungi kesihatan awam, malah memelihara kelangsungan industri tempatan yang sah dan bertanggungjawab.
“Walaupun pengenalan cukai ini dijangka memberi kesan terhadap harga produk dan operasi pengeluar, kami percaya ia merupakan pendekatan kawalan yang lebih wajar, inklusif dan progresif berbanding larangan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.
Pada Julai lalu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya membuat pertimbangan mengenai larangan penuh penjualan dan penggunaan vape serta rokok elektronik, namun memerlukan beberapa pertimbangan seperti implikasi undang-undang, penguatkuasaan, dan kesihatan awam.
Beberapa kerajaan negeri mengambil langkah pengharaman penuh penjualan vape antaranya Perlis, Terengganu, Kedah, dan Pahang. Johor dan Kelantan pula menguatkuasakan larangan penjualan produk tersebut masing-masing sejak 2016 dan 2015.
Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebelum ini berkata, kerajaan akan memperluaskan cukai prokesihatan kepada produk seperti tembakau, vape dan alkohol untuk membendung penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, langkah itu menunjukkan ketegasan kerajaan dalam menangani risiko kesihatan.
Mengulas perkembangan itu, Shahabudeen menggesa kerajaan menyelaraskan dasar berkaitan rokok elektronik susulan kenyataan bercanggah antara perdana menteri dan menteri kesihatan yang menimbulkan kekeliruan dalam industri.
Menurutnya, dasar tidak menentu hanya memburukkan industri vape, menyukarkan pelaburan dan merencatkan perancangan jangka panjang.
Kekeliruan turut bertambah apabila terdapat perbezaan pendekatan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, yang telah pun mengambil langkah untuk mengharamkan penjualan vape.
“Ketidaksepadanan dasar ini menimbulkan kekeliruan yang ketara dalam kalangan pengusaha industri, selain membingungkan pengguna,” katanya.
Beliau sekali lagi menegaskan, masalah utama yang perlu diberi tumpuan adalah lambakan produk vape haram dan tiruan di pasaran yang menyebabkan kehilangan hasil kepada negara.
“Produk ini tidak mematuhi piawaian keselamatan, tidak dikenakan cukai serta membawa risiko kesihatan lebih tinggi kepada pengguna.-UTUSAN










