Ribuan sertai himpunan solidariti Zara Qairina di Ipoh - Utusan Malaysia

Ribuan sertai himpunan solidariti Zara Qairina di Ipoh

PESERTA rapat umum #justiceforzara di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau Padang Polo di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ribuan peserta menghadiri himpunan solidariti buat Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz atau Padang Polo di sini hari ini.

Program Rapat Umum #justiceforzara yang bermula sekitar pukul 9 malam itu berlangsung secara aman dengan peserta memulakan acara dengan mengadakan solat hajat dan bacaan doa.

Beberapa individu terdiri dalam kalangan mahasiswa kemudian tampil berucap memberi sokongan dan solidariti kepada Allahyarham Zara Qairina sambil menyatakan harapan agar siasatan telus dijalankan terhadap kes tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Hafez Sabri, ADUN Pengkalan Hulu, Mohamad Amin Roslan dan ADUN Titi Serong, Muhammad Hakimi Hamzi Mohd Hayat turut hadir memberi sokongan kepada program berkenaan.

Peserta turut menaikkan sepanduk dan mesej yang bertulis ‘Justice For Zara’, ‘Kami Mahu Keadilan Untuk Adik Zara’, ‘Keadilan Bukan Untuk Didiamkan, ‘Keadilan Adalah Untuk Ditegakkan’ dan ‘Hentikan Buli Sekarang’.

Himpunan berkenaan dianjurkan oleh Sekretariat Mahasiswa Bertindak Justice for Zara Negeri Perak.

Himpunan sama turut diadakan di Menara Condong, Teluk Intan dengan merekodkan kehadiran ribuan peserta.

Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina yang merupakan pelajar tingkatan satu sebuah sekolah agama di Papar, Sabah ditemukan dalam keadaan parah di bangunan asrama selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga.

Remaja itu kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.

Kejadian itu tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi netizen selepas ia dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli yang didakwa berlaku di sekolah berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN