PETALING JAYA: Ribuan orang berhimpun di tiga bandar utama di Sabah malam tadi menuntut keadilan bagi pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir yang maut dipercayai ada kaitan dengan kes buli di sekolah.
Di Tawau, kira-kira 3,000 peserta berpakaian hitam memenuhi Bulatan Pasar Chester sambil memegang plakad bertulis Keadilan Untuk Zara dan Hentikan Buli,.
Selain itu di Sandakan, sekitar 1,000 orang menghadiri majlis nyalaan lilin di Esplanad Harbour Mall, manakala di Lahad Datu, orang ramai berkumpul di kawasan menara jam sebelum bacaan doa diadakan.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, yang hadir pada majlis di Sandakan berkata, orang ramai mahukan kebenaran dan siasatan terperinci perlu dilakukan.
“Buat masa ini keluarga masih belum mendapat penjelasan. Siasatan awal terlalu pantas dan tidak menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan emosi keluarga mangsa.
Acara nyalaan lilin serupa dilaporkan di Semporna dan Kota Kinabalu, manakala satu lagi dijadual diadakan di Sipitang malam esok.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan menggali semula kubur Zara bagi membolehkan bedah siasat dijalankan semula selepas meneliti laporan awal siasatan.
Zara dilaporkan jatuh dari bangunan asrama sekolahnya di Papar pada 16 Julai lalu dan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu keesokan harinya.
Ibunya, Noraidah Lamat, mendakwa terdapat kesan lebam di belakang tubuh anaknya dan mendesak siasatan baharu dijalankan. Peguam keluarga turut menuntut inkues dan penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman dilantik bagi mengendalikan kes ini.
Polis sebelum ini menemu bual 60 individu termasuk pelajar, guru dan ibu bapa. Keluarga menafikan khabar angin kononnya Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh dan menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat sahih menyalurkannya kepada pihak berkuasa.-UTUSAN










