KUALA LUMPUR: Pelakon, Henley Hii, 40, meluahkan rasa syukur kerana sering diberi kepercayaan untuk membintangi filem yang mengisahkan tentang pasukan badan uniform.
Katanya, pembabitan dalam filem jenis itu sedikit sebanyak telah memperkenalkan namanya kepada penonton filem Melayu.
“Sebelum ini Paskal dan kali ini Legasi: Bomba The Movie. Terima kasih. Ini rezeki dari Tuhan,” katanya pada Malam Gala filem Legasi: Bomba The Movie baru-baru ini.
Berkongsi rahsia awet muda pada usia 40 an, anak kelahiran negeri Sabah ini memaklumkan dia sering mengamalkan puasa untuk sihat.
“Kebiasaannya saya berpuasa 72 jam. Ada masanya sehingga 80 jam tanpa makan, hanya minum air sahaja.
“Kesannya untuk kesihatan amat ketara,” kongsinya.
Mengulas mengenai Legasi: Bomba The Movie, bapa seorang cahaya mata ini memaklumkan dia dan hampir kesemua pelakon menjalani latihan intensif yang mencabar di Wakaf Tapai sebagai persiapan sebelum penggambaran filem berkenaan dimulakan.
“Antara yang paling mencabar adalah latihan membuka dan menggulung semula hos bomba yang beratnya antara 18 hingga 20 kilogram.
“Bayangkan kami perlu angkat bukan satu, tapi dua hos bomba ketika latihan.
“Selain itu, kami juga berpeluang merasai sendiri betapa sengsaranya menyarungkan baju kalis api ketika cuaca panas.
“Pembabitan dalam filem ini benar-benar membuka mata dan membuatkan saya kagum dengan anggota bomba,” jelasnya.-UTUSAN