KUALA LUMPUR: Rapid KL akan melaksanakan operasi tanpa henti selama 24 jam bagi perkhidmatan pengangkutan termasuk tren, bas dan Rapid On-Demand (ROD).
Perkhidmatan itu melibatkan rel, BRT, laluan bas serta beberapa zon ROD terpilih bermula 30 hingga 31 Ogos ini sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-68.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi memudahkan orang ramai menghadiri acara Ambang Merdeka dan sambutan rasmi di Dataran Putrajaya.
Katanya, langkah itu turut mengambil kira kejayaan pelaksanaan perkhidmatan yang dilaksanakan tahun lalu, sekali gus membolehkan persiapan kali ini diperkukuh.
“Rapid KL akan beroperasi selama 24 jam bermula jam 6 pagi, 30 Ogos sehingga 11.30 malam, 31 Ogos 2025, meliputi semua laluan LRT, MRT dan Monorel, BRT Sunway serta beberapa laluan bas dan enam zon ROD terpilih.
“Perkhidmatan ini adalah kesinambungan kejayaan operasi 24 jam yang telah kami perkenalkan tahun lalu,” katanya dalam sidang media program “Denyut Nadi Merdeka”: Rapid KL Hidupkan Semangat Bulan Kebangsaan 2025, hari ini.
Tambahnya, sebanyak 86 laluan melibatkan 235 buah bas akan beroperasi pada malam Ambang Merdeka, sebelum ditingkatkan kepada 100 laluan dengan 308 buah bas pada Hari Kebangsaan.
“Rapid KL juga menyediakan 96 buah bas perantara percuma ke Dataran Putrajaya bermula 12.30 tengah malam, 30 Ogos sehingga 2 petang, 31 Ogos.
“Selain itu, sebanyak enam zon ROD dengan 20 buah van turut disediakan dan boleh ditempah menerusi aplikasi MyRapid Pulse dengan kadar hanya RM1,” katanya.
Dalam pada itu, kata Amir, lebih 5,000 kakitangan barisan hadapan juga akan ditugaskan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Perbadanan Putrajaya untuk kawalan keselamatan serta kelancaran perjalanan.
Amir turut menasihatkan orang ramai supaya menggunakan kad Touch ‘n Go dengan baki mencukupi serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi melancarkan perjalanan.
“Sebagai pengendali pengangkutan awam terbesar negara, kami berbangga menjadi sebahagian daripada denyut nadi rakyat dalam menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.
“Inisiatif ini bukan sekadar menyediakan perkhidmatan mobiliti tetapi juga mencerminkan komitmen berterusan Prasarana untuk memperkukuh pengangkutan awam sebagai pemacu kebersamaan rakyat dan simbol kecintaan kepada negara,” katanya.-UTUSAN










