PEMERGIAN penyanyi legenda, Ozzy Osbourne pada 22 Julai lalu mengejutkan industri muzik seluruh dunia bahkan, kehilangan ‘Putera Kegelapan’ itu turut diratapi rakan seperjuangan dan peminat.
Seolah ‘mengetahui’ ajalnya sedang menanti, Ozzy yang meninggal dunia pada usia 76 tahun itu sempat menghadiahkan sebuah konsert terakhir buat peminatnya bersama ahli kumpulan, Black Sabbath di Birmingham, England, pada 5 Julai lalu.
Difahamkan, mendiang Ozzy mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti Parkinson sejak 2020 dan menjalani pembedahan tulang belakang pada 2022 sebelum kembali beraksi di konsert terakhirnya.
Kini, segalanya tinggal hanyalah kenangan malah, ruangan Instagram penyanyi legenda rock heavy metal itu masih dihujani rintihan daripada peminat yang seakan tidak percaya Ozzy sudah pergi buat selamanya.
Mendiang meninggalkan isteri yang juga pengurusnya, Sharon serta tiga anak mereka, iaitu Kelly, Jack dan Aimee bersama dua anak lain, iaitu Jessica dan Louis, hasil perkahwinan dengan isteri pertama, Thelma.
“Di mana saya akan cari awak sekarang? Dalam kenangan, dalam pelukan yang tidak terucap, panggilan telefon kita yang tidak dijawab, tidak, awak selamanya di hati saya.
“Takziah kepada Sharon dan semua ahli keluarga. Berehatlah dengan tenang, kekesalan yang tulus buat semua peminat. Tiada lagi selamat tinggal. Terima kasih selamanya,” ucap Bill Ward, pemain drum Black Sabbath di Instagram.
Kemunculan Ozzy bersama kumpulan Black Sabbath yang turut dianggotai Tony Lommi, Bill Ward dan Greezer Butler pernah mencetuskan revolusi dalam industri muzik rock Britain pada era 1970-an.
Berikut merupakan lima lagu yang menerima sentuhan Ozzy Osbourne.
1. Paranoid
Ditulis sebagai ‘pengisi’ album kedua Black Sabbath, lagu yang disiapkan pada saat-saat akhir itu secara tidak sengaja mencipta sejarah luar biasa terhadap kerjaya seni kumpulan itu.
Lagu ini menyentuh tentang perasaan paranoia, tekanan mental dan rasa terasing, iaitu tema yang jarang diketengahkan dalam muzik popular ketika itu.
Meskipun proses pembikinan lagu tersebut dilakukan dalam jangka masa pendek, Paranoid menjadi lagu paling popular Black Sabbath dan lagu metal terbaik sepanjang zaman.
2. Crazy Train
Crazy Train merupakan lagu debut Ozzy Osbourne menerusi album solonya selepas meninggalkan Black Sabbath pada 1979 yang dihasilkan bersama pemain gitar lagenda, Randy Rhoads.
Lagu itu juga secara tidak langsung membuktikan kejayaan Ozzy yang mampu bergerak secara solo tanpa Black Sabbath sekali gus menjadi pengaruh hebat terhadap generasi baru pemuzik rock.
3. Sabbath Bloody Sabbath
Berkisarkan tentang konflik batin dan perasan gelisah yang berpunca daripada tekanan dan masalah yang dialami, lagu Sabbath Bloody Sabbath merupakan single utama dalam album kelima Black Sabbath.
Album dan lagu ini dianggap sebagai salah satu karya terbaik Black Sabbath bahkan, sering mendapat pujian kerana muzik dan liriknya yang menyentuh jiwa. Lagu ini juga membuktikan kematangan muzik Black Sabbath selepas melancarkan beberapa album.
4. Changes
Changes menunjukkan sisi lembut dan emosi Black Sabbath yang berbeza daripada imej mereka sebagai ‘raja heavy metal’. Mengetengah genre balada, lagu ini menceritakan rasa kehilangan seseorang yang sangat penting dan perasaan sedih yang menyelubungi hidup.
Single ini juga amat sentimental buat Ozzy kerana dia menulisnya sebagai penghormatan kepada bekas isterinya, Thelma.
5. Mr. Crowley
Mr. Crowley adalah lagu penghormatan yang dihasilkan oleh Ozzy buat Aleister Crowley yang seorang ahli okultisme dan ahli sihir kontroversial dari awal abad ke-20.
Lagu ini menjadi salah satu lagu klasik Ozzy dan sering dimainkan dalam konsert-konsertnya.
Aleister Crowley sendiri adalah subjek banyak mitos dan cerita dalam muzik rock dan metal.