ROMPIN: Dalam era pelancongan moden yang semakin rancak, Pulau Tioman di sini kekal sebagai destinasi yang menawarkan ketenangan, keaslian dan pesona tropika sukar ditandingi yang suatu ketika dahulu, salah sebuah pulau tercantik di dunia.
Pusat peranginan itu tampil dengan identiti tersendiri. Ia bukan sekadar pulau tetapi satu pengalaman yang menyentuh jiwa, terutama bagi mereka yang menghargai keindahan alam semula jadi dan budaya tempatan.
Felo Bersekutu Pusat Bioaromatik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof. Madya Dr. Abdul Syukor Abd. Razak berkata, salah satu tarikan utama Pulau Tioman ialah pantainya yang memukau, pasir putih lembut, dibaluti air laut yang seperti kristal biru kehijauan.
Katanya, Pantai Salang, Pantai Juara, Pantai Tekek dan Pantai Air Batang masing-masing menawarkan pengalaman tersendiri, daripada bersantai di bawah matahari hingga meneroka dasar laut.
“Terumbu karang di perairan sekitar Tioman menjadikan pulau ini sebagai syurga buat penyelam skuba dan bersnorkel (snorkeling). Dengan biodiversiti marin yang sangat tinggi dan memukau, termasuk penyu hijau, ikan pari manta, ikan yu, ikan badut dan pelbagai spesies karang lembut dan keras serta hutan hujan tropika yang menjadi habitat pelbagai spesies flora dan fauna.
“Justeru itu tidak hairanlah Tioman menjadi antara destinasi menyelam terbaik di Asia Tenggara. Keaslian ini menjadikan Tioman sebagai syurga duniawi bagi penyelam skuba dan pencinta alam. Ramai pengunjung dari seluruh dunia datang ke sini semata-mata untuk menyelam di lokasi seperti Tiger Reef dan Pulau Labas. Tioman yang lebih bersifat kontemplatif ini, mengajak pengunjung merenung keindahan ciptaan dan keagungan Tuhan secara holistik dan komprehensif,” katanya kepada Utusan Malaysia.
BIODIVERSITI DAN KONSERVASI
Dr. Abdul Syukor berkata, Pulau Tioman bukan sahaja destinasi pelancongan, malah menjadi simbol kepada usaha pemuliharaan alam sekitar apabila pelbagai inisiatif sudah dijalankan untuk memastikan pembangunan tidak menjejaskan ekosistem pulau, termasuk kawalan terhadap pembinaan dan aktiviti pelancongan.
“Umum mengetahui Pulau Tioman terkenal sebagai khazanah biodiversiti tropika yang luar biasa di Malaysia, merangkumi ekosistem daratan dan marin yang sangat kaya dan unik. Hutan hujan tropika di pulau ini menjadi habitat kepada spesies endemik seperti katak Tioman dan pelbagai tumbuhan langka. Manakala Taman Hidupan Laut Tioman menyokong lebih 200 spesies terumbu karang serta hidupan marin yang terancam seperti penyu hijau, ikan badut dan ikan pari manta.
“Usaha konservasi yang dijalankan termasuk penubuhan pusat pemuliharaan penyu di Pantai Juara, aktiviti pendidikan alam sekitar, larangan penangkapan ikan di kawasan taman laut, dan inisiatif pembersihan pantai serta terumbu karang oleh Lembaga Pembangunan Tioman (TDA).
“Namun, Tioman masih berdepan ancaman seperti pembuangan sampah oleh nelayan luar, pencemaran laut, pemanasan global yang menyebabkan pemutihan karang serta aktiviti penangkapan ikan secara haram oleh pihak luar yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, konservasi berterusan dengan pendekatan pembangunan lestari, penguatkuasaan undang-undang yang tegas serta penglibatan aktif kakitangan TDA, komuniti dan pelancong penting dalam memelihara ekosistem Tioman.

PEMBANGUNAN DAN PENGKOMERSIALAN MAPAN
Dr. Abdul Syukor berkata, Pulau Tioman menampilkan model pembangunan dan pengkomersialan mapan yang unik, berbeza daripada pulau komersial lain di dunia apabila keindahan semula jadinya kekal asli serta organik, menjadikannya destinasi tropika yang memukau tanpa kehilangan identiti.
Katanya, dalam dekad mutakhir ini, peningkatan akses dan kemudahan infrastruktur memperluaskan lagi potensi pelancongan, menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Namun, perjalanan ke Pulau Tioman melalui Jeti Mersing atau Teluk Gading masih mengekalkan elemen eksklusif yang menjadikan perjalanan ke pusat peranginan itu lebih berbaloi bagi mereka yang benar-benar menghargai pengembaraan hijau yang dinamik lagi inklusif.
“Ini menjadikan pengalaman ke Tioman lebih berbaloi bagi pencinta alam yang menghargai pengembaraan hijau dan lestari. Keindahan Tioman bukan sekadar pada landskapnya tetapi pada komitmen terhadap pembangunan seimbang antara manfaat ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar. Model ini mencerminkan Tioman bukan sekadar destinasi perlancongan ternama,” katanya.
KEHIDUPAN KOMUNITI DAN BUDAYA TEMPATAN
Di sebalik keindahan landskapnya yang mempersonakan, Pulau Tioman juga dihuni oleh komuniti kecil yang mesra terdiri daripada masyarakat Melayu, Cina dan Orang Asli.
Statistik bancian 2021 menunjukkan penduduknya seramai 3,347 orang dengan pecahan demografi jantina lelaki seramai 1,761 orang manakala perempuan 1,586 orang.
Dr. Abdul Syukor berkata, penduduk tempatan juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan budaya dan warisan pulau.
“Kehidupan kampung yang sederhana, keramahan penduduk serta makanan tradisional yang autentik menambah nilai kepada pengalaman pelancong.
“Perkampungan seperti Tekek dan Juara menawarkan pengalaman autentik yang mana pelancong dapat berinteraksi dengan penduduk tempatan, merasai makanan tradisional seperti nasi dagang dan laksa Pahang serta mengenali seni kraftangan unik dan cara hidup masyarakat.
“Pembangunan di pulau ini sangat terkawal, yang membantu mengekalkan identiti asli Tioman. Walaupun terdapat kemudahan moden seperti lapangan terbang kecil dan beberapa resort mewah, suasana desa yang tenang dan damai masih kekal sebagai daya tarikan utama,” katanya.
PELANCONGAN LESTARI
Menurutnya, bagi pecinta fotografi, ia menawarkan sudut-sudut dramatik dan memukau dari pantai berpasir putih hingga ke puncak Gunung Kajang yang diselubungi kabus. Setiap detik di pulau tersebut adalah potret keindahan yang tidak memerlukan suntingan.
“Tioman lebih menepati ciri-ciri destinasi yang mesra alam. Ia menggalakkan pelancongan berasaskan komuniti dan pendidikan alam sekitar, selaras dengan aspirasi negara untuk mempromosikan pelancongan bertanggungjawab dan beretika dengan pemikiran global dan lokal (Glokal),” katanya.
POTENSI MASA HADAPAN
Katanya, Pulau Tioman juga mempunyai potensi besar untuk dijadikan lokasi program pendidikan dan penyelidikan alam sekitar.
“UMPSA merintis kemampanan biodiversiti dan konservasi di Pulau Tioman melalui teknologi lestari sejak 2012 hingga kini dan akan menjalinkan kerjasama bersama TDA yang boleh menjadikan pulau ini sebagai pusat penyelidikan sehenti yang bertindak sebagai makmal hidup untuk kajian biodiversiti,” katanya. – UTUSAN










