PETALING JAYA: Selama enam tahun, Azmi Mansor, 70, tidak pernah jemu membawa Proton Tiara kesayangannya makan angin di sekitar ibu kota.
Bagi pengguna Lebuhraya Persekutuan, kelibat kereta berwarna merah yang dihias dengan puluhan Jalur Gemilang dan bendera negeri bukanlah pemandangan asing.
Sekurang-kurangnya dua kali seminggu, pengguna lebuh raya itu pasti dapat melihat kereta berhias Jalur Gemilang tersebut diletakkan di bahu jalan.
Azmi berkata, walaupun usia kenderaan itu mencecah hampir tiga dekad dan kerap rosak, kereta tersebut tetap mempunyai tempat istimewa dalam hatinya.
“Enam tahun lalu ada program lupus kereta lama di Kuantan. Saya beli kereta ini di sana kerana tidak sanggup melihatnya dilupuskan, walaupun kos selenggara agak tinggi.
“Proton Tiara ini kereta nasional. Dalam banyak-banyak kereta yang saya ada, kereta ini yang paling saya sayang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Dia berkata, setiap helai bendera dan lampu pada keretanya dipasang dengan teliti menggunakan kudrat sendiri.
Kali pertama menghias kenderaan itu, Azmi berkata, proses mengecat dan memasang bendera mengambil masa sekurang-kurangnya lapan jam.
“Bendera yang saya guna di kereta ini rata-ratanya berharga antara RM1.20 hingga RM2.80. Ada bendera kecil, ada juga yang bersaiz besar. Setiap kali rosak, tercicir atau lusuh, saya akan tukar sendiri satu persatu,” katanya.
Menurut Azmi, dia akan memandu Proton Tiara itu di sekitar Lembah Klang sekurang-kurangnya empat kali seminggu.
“Kos minyak sahaja mencecah RM80 setiap kali perjalanan, itu tidak termasuk perbelanjaan makan dan penyelenggaraan lampu kereta. Disebabkan usia kenderaan, saya terpaksa berhenti beberapa kali untuk menyejukkan enjin.
“Ramai yang membunyikan hon dan melambai. Ada juga pelancong asing yang mahu bergambar dengan kereta ini. Saya tidak letak tabung, semua boleh bergambar percuma.
“Saya juga tidak kisah jika ada yang ingin memandu kereta saya, cuma tolong telefon saya dan beritahu di mana lokasi terakhir kereta,” katanya. – UTUSAN