Proton catat jualan 13,518 unit pada Julai 

Proton catat jualan 13,518 unit pada Julai 

PROTON X50 baharu yang dilancarkan pada 24 Julai lalu merupakan pemacu peningkatan volum yang utama bagi syarikat pada Julai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (Proton)  memulakan separuh kedua tahun ini dengan jualan keseluruhan sebanyak 13.518 unit atau peningkatan sebanyak 22.1 peratus pada Julai berbanding bulan sebelumnya.

Syarikat berkata, pencapaian itu mendorong jualan tahun hingga kini (YTD) kepada 85,674 unit untuk tujuh bulan pertama 2025, sekal igus mengukuhkan posisinya di tangga kedua dalam kedudukan jualan nasional.

“Pegangan pasaran bagi bulan ini dianggarkan sebanyak 19.2 peratus, dengan angka pegangan pasaran YTD semasa sebanyak 19.3 peratus.

“Ini merupakan peningkatan 0.6 peratus berbanding keseluruhan 2024, yang mencatat 18.7 peratus untuk setahun penuh apabila jualan kereta Malaysia mencapai tahap jualan tertinggi baharu.

“Jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk Julai dianggarkan pada 70,545 unit, peningkatan sebanyak 28.7 peratus berbanding Jun dan merupakan angka jualan bulanan kedua tertinggi untuk 2025,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Proton X50 baharu yang dilancarkan pada 24 Julai lalu merupakan pemacu peningkatan volum yang utama bagi syarikat pada bulan itu

“Dengan 999 unit diserahkan dalam tujuh hari terakhir pada bulan tersebut, ia mengakhiri Julai dengan jumlah jualan melebihi 2,000 unit buat kali ketiga pada 2025 dan mencapai angka 2,068 unit.

“Dengan menampilkan reka bentuk luaran baharu, bahagian dalaman yang ditingkatkan, ciri-ciri pintar baharu dan memanfaatkan kempen pemasaran menyasarkan pembeli lebih muda dalam pasaran kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen B ini telah menarik banyak perhatian di media sosial dan di bilik pameran.

“Dengan unjuran jumlah pengeluaran mencecah 5,000 unit menjelang akhir bulan ini dan jumlah tempahan menghampiri lima angka, angka jualan pada Ogos dijangkakan akan lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Proton X90 dan Proton S70 meneruskan prestasi jualan kukuh untuk SUV segmen D dan sedan segmen C.

Menurutnya, Proton X90 merekodkan sebanyak jualan 229 unit, manakala Proton S70 terus melebihi jangkaan dengan 1,404 unit dijual pada Julai, menjadikan jumlah volum YTD berada pada tahap 10,750 unit.

Model Proton dengan peningkatan jualan terbaik tahun ini ialah Proton X70, meskipun menghadapi kemunculan pelbagai pesaing baharu, SUV segmen C ini mencatat angka peningkatan jualan YTD sebanyak 51.7 peratus selepas 617 unit ditambah pada Julai, menjadikan jualan YTD kepada 4,971 unit.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Zhang Qiang berkata, selepas prestasi kurang memberangsangkan pada Jun, jualan model Proton meningkat hampir 2,500 unit atau 22.1 peratus pada Julai, memberikan syarikat permulaan yang hebat bagi separuh kedua 2025.

“Pengenalan Proton X50 baharu telah memberi tumpuan kepada seluruh rangkaian produk kami.

“Proton berhasrat mengekalkan momentum peningkatan ini dengan lebih banyak memperkenalkan model baharu serta pameran teknologi di Global Automotive and Technology Expo (GATE) 2025 dalam lima bulan terakhir tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN