KOTA BHARU: Hasil emas yang diperoleh melalui aktiviti mendulang tidak diwajibkan zakat sekiranya ia terus dijual.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, zakat emas hanya perlu dikeluarkan apabila logam itu melebihi 85 gram dan disimpan selama setahun.
“Jumlah emas yang diperoleh dan disimpan selama setahun dipanggil cukup haul dan perlu keluarkan zakat. Jika hasil emas terus dijual, ia tidak termasuk dalam syarat dan rukun zakat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Harga emas di pasaran Malaysia semasa sekitar RM 603-RM 636 per gram, manakala kadar nisab zakat bagi simpanan emas di Kelantan bagi tahun 2025 adalah kira-kira RM51,000.
Syarat wajib zakat emas di Kelantan adalah wajib bagi semua emas yang cukup haul (setahun), cukup nisab (85 gram untuk emas simpanan) dan memenuhi syarat wajib zakat (Islam, merdeka, sempurna milik).
Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan, ledakan video tular di TikTok memaparkan individu mendakwa mendulang emas mampu menjana pendapatan lumayan menimbulkan pelbagai persepsi masyarakat di negeri ini.
Ada yang beranggapan keputusan Kerajaan Negeri Kelantan membenarkan aktiviti itu secara sah mampu menjadikan mereka yang tinggal berhampiran kawasan sumber mineral bergelar jutawan sekelip mata.
Dengan harga emas yang terus melambung membuatkan ramai mula memasang angan-angan untuk menjadikan aktiviti mendulang sebagai kerjaya tetap seolah-olah sungai di pedalaman negeri ini menyimpan emas bertimbun yang hanya menunggu untuk dikaut.
Namun, realitinya jauh berbeza apabila penduduk di Kampung Kalai yang sudah mendulang emas di Sungai Tadoh lebih 100 tahun lalu memberitahu, aktiviti itu tidak pernah menjanjikan pulangan lumayan.
Sebaliknya, ia sekadar pendapatan sampingan yang diusahakan sebagai pelengkap rezeki harian selain mengukuhkan kantung kewangan keluarga.
Perkara itu diakui oleh Kamil Abdullah, 35, anak jati kampung tersebut yang mula mengenal aktiviti mendulang emas seawal usia enam tahun dan mewarisi pekerjaan turun-temurun keluarganya.










