PETALING JAYA: Prosedur bedah siasat dan menggali semula jenazah pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan dilakukan dengan kadar segera oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar berkata, aturan itu berpandukan Seksyen 331 dan Seksyen 335 Kanun Keseksaan Tatacara Jenayah.
Katanya, siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam tempoh terdekat.
“PDRM mengesahkan bahawa laporan siasatan telah diteliti dan dinilai oleh AGC.
“PDRM menegaskan bahawa keadilan akan sentiasa ditegakkan dan siasatan dijalankan adalah mengikut lunas undang-undang, fakta dan keterangan diperolehi,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, AGC dalam satu kenyataan mengarahkan PDRM menggali semula jenazah pelajar Tingkatan Satu itu bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.
AGC berkata, langkah itu bertujuan untuk memastikan PDRM memboleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kematian Zara Qairina.
Katanya, jabatan telah meneliti laporan penuh siasatan
Kematian Zara Qairina turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan tidak ada sebarang perlindungan diberikan kepada mana-mana pihak terbabit atau pelaku dalam kes tersebut.
Perdana Menteri berkata, kematian bukan sebuah perkara yang dipandang ringan dan justeru itu, beliau menegaskan siasatan mendalam harus dilaksanakan oleh pihak berkuasa yang berkaitan dengan kadar segera.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah di Papar, Sabah, ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah pada 4 pagi, 16 Julai lalu.
Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada pukul 11 pagi, 17 Julai lalu dan kes kematian pelajar berkenaan tular serta menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat di media sosial.-UTUSAN










