KUALA LUMPUR: Semua projek perumahan berskala besar perlu mengikut konsep pembangunan Madani dengan dilengkapi pelbagai kemudahan terutama pendidikan dan kesihatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syarat tersebut melibatkan projek yang dibangunkan dengan kapasiti 3, 500 unit terutama di kawasan bandar.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat terutama bagi mereka yang menetap di bandar-bandar besar.
“Semua projek mesti ikut konsep ini. Bayangkan kalau tiada sekolah dan perlu ke tempat yang jauh untuk pendidikan.
“Bagaimana pula dengan keselamatan anak-anak dengan kes jenayah yang mengancam anak-anak kecil? Kalau ada sekolah di bangunan yang sama, bukankah ia selesa untuk ibu-bapa? Malah mereka boleh bekerja dengan tenang dan baik,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pecah Tanah Residensi Aman Madani di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini hari ini.-UTUSAN










