KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial dan penyanyi, Ceddy Ang meluahkan rasa terkilan dengan layanan yang diterimanya daripada sebuah restoran terkenal baru-baru ini.
Kata Ceddy, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana ketika dia hadir ke kedai tersebut, waktu operasi kedai berkenaan difahamkan masih berjalan, namun dikatakan tutup dengan nada yang kurang mesra dan biadap.
“Sebelum pergi ke kedai tersebut, saya buat carian di Internet mengenai waktu operasinya yang tutup pada pukul 11 malam.
Jadi kami pergi ke situ pada pukul 9.45 malam namun kedatangan kami ditolak dengan alasan kedai sudah tutup.
“Saya tak kisah kalau dia beritahu kami dengan cara baik, mungkin kedai ditutup awal sebab hal hal tertentu. Tapi, caranya kurang mesra, kasar dan dalam keadaan marah.
“Saya tak akan pergi kalau kedai itu waktu operasinya berakhir tepat waktu yang ditetapkan. Tapi dengan nada yang kurang mesra, pengurus kedai itu memaklumkan sebaliknya. Jadi sekarang kita persoalkan kenapa tutup awal sedangkan waktu operasi belum berakhir?,” katanya selepas majlis Cuckootopia x Anugerah Melodi Terhangat 2026 di ibu negara, semalam.
Ceddy memaklumkan pemilik cawangan berkenaan telah menghubungi beliau, memohon maaf dan berjanji akan memberi latihan kepada kakitangan untuk mengelakkan perkara sama berulang.
“Pengasas kedai makan itu hubungi saya dan ikhlas memohon maaf. Dan pada masa sama memaklumkan operasi mereka sebenarnya berakhir pukul 11 malam yang mana tempahan terakhir akan diambil pada pukul 10.45 malam.
“Beliau juga memaklumkan memang berlaku kes yang sama sebelum ini, jadi akan melantik pekerja lebih berpengalaman untuk mengadakan bimbingan supaya kejadian sama tidak berlaku lagi.
“Saya tidak mahu pengurus itu dibuang kerja. Cukup sekadar dia dibimbing dan diberi latihan untuk memperbetul kesalahan dan memantapkan perkhidmatannya.
“Saya tak ada masalah untuk kembali ke cawangan yang lain kerana saya tahu makanan yang dihidangkan sangat okey. Malah pemilik kedai berhasrat untuk menjemput saya ke cawangan baharu, namun beliau segan kerana video saya sudah tular,” katanya lagi.
Ditanya jika video berkenaan dibuat sebagai gimik untuk menarik pelanggan, Ceddy menyangkal perkara tersebut kerana kejadian berkenaan adalah pengalaman yang benar-benar berlaku.
“Saya tidak membuat video itu kerana gimik, malas layan perkara begitu. Apa yang saya dapat? Tak ada.
“Malah kalau diberi makan percuma juga saya menolak. Itu bukan amalan saya dan terbukti sebelum ini, semua reviu makanan yang saya buat adalah dibayar saya sendiri.
“Dan saya tidak merancang untuk membuat reviu di restoran berkenaan, sekadar datang untuk makan sahaja. Tapi, tak sangka pula layanannya sebegitu,” jelasnya.
Kata Ceddy lagi, tujuan dia memuat naik video berkenaan bukan untuk menutup periuk nasi sesiapa namun sekadar memberi kesedaran tentang buruknya perkhidmatan pelanggan yang terpaksa dihadapi segelintir pelanggan.
“Video yang ditular tidak lain hanya untuk memberi kesedaran kepada pekerja bahawa tindak tanduk mereka dipantau majikan.
“Dan cara pengurus itu melayan pelanggan juga diperhatikan. Jika saya bersikap biadap, boleh diterima sebagai kesalahan sendiri. Namun pengurus kedai di cawangan tersebut yang bersikap biadap.
“Semoga insiden ini memberi kesedaran kepada pengurus restoran agar mematuhi waktu operasi yang ditetapkan. Selain itu, benda boleh bincang, cakap elok-elok kepada pelanggan, kenapa memilih untuk bersikap biadap?,” ujarnya.











